Rabu, Disember 25

Akhirnya... Tuhan lebih menyayangimu

(Mengenang sahabat lama, Allahyarhammah Azizah Adam;
yang meninggal dunia pada 24 Disember 2013)

Malam yang tidak lena
rupanya beri petanda
kau dijemput pulang oleh Penciptamu

Berita yang diterima 
cukup menyentak rasa pilu yang mendalam
lantas kenangan lama terpapar di ingatan

Kau yang pendiam
kekal pendiam hingga ke akhir hayat
dengan rakan rapat yang tidak ramai
kau menjadi sebahagian dari teman yang akrab
namun
jarak dan masa memisahkan
lalu kita jarang dapat bertemu lagi
tapi
hubungan kita tetap mesra
dalam situasi yang berbeza

Ahad, Disember 1

Pantun November

Jumlah Pantun (64)

1 November - Jumaat


3.18am - Jamal Saudi
 
Pantun rindu:
 
Manis rasanya sibuah mangga
Beragam bentuk kuning isinya
Air yang bersih pengubat dahaga
Hati yang rindu apa ubatnya?
 
Manis sungguh si dara Jepun
Molek gayanya amatlah santun
Cuma sehari bagai setahun
Pabila rindu datang meruntun

Mengail ikan di Tasik Pedu
Umpan dipasang harap mengena
Manis senyummu umpama madu
Bermain di minda mengganggu lena

Pantun nak tidur:

Rauah, Tona, Leeza dan Sue
Utih, Twin, Iwe dan Saido
Sound-off whatsapp biar membisu
Mata dah bengkak aku nak tidur

Selasa, November 12

Berkongsi Resepi


Hari ini agak lapang sedikit.  Tidak ke pejabat lalu ambil kesempatan untuk memasak di rumah.  Kebetulan, semalam ke pasaraya Aeon Big di Wangsa Maju. Biasalah, membeli barang-barang keperluan dapur.

Singgah di sudut pokok hidup untuk membeli anak pokok selasih bagi menggantikan pokok-pokok selasih yang telah mati di pasu di halaman rumah. Maklumlah, tinggal di rumah teres, manalah ada kawasan untuk bercucuk tanam.

Walaupun terdapat pelbagai pokok yang lain di sudut jualan itu, tetapi jurujualnya tiada. Tak dapatlah membeli anak pokok selasih tersebut.  Tapi sempat pula belek-belek beberapa anak pokok selasih.

Rupa-rupanya di celah-celah pokok tersebut, tertera resepi ringkas masakan kepah dan daun selasih. Tertulis disitu, "Masukkan kepah, sos tiram dan daun selasih. Goreng dan makan."  Ahh.... mudahnya. 

Resepi itu agak ringkas, tapi menggamit untuk mencuba kerana kebetulan baru saja membeli seikat daun selasih di pasaraya NSK di kawasan yang berhampiran. Apa lagi, terus ke bahagian pasar dan beli kepah.


Kepah Goreng Daun Selasih

Jumaat, November 1

Pantun Oktober

Jumlah Pantun ( 147 )

1 Oktober - Selasa

4.03am - Utih Yasin

Kalau nak gugur, gugurlah nangka
Jangan menimpa dahan rambutan
Kalau nak tidur, tidurlah mata
Jangan mikir yang bukan bukan...

9.40am - Jamaluddin Khalid

Pagi redup di Ulu Kelang
Mendung hadir mentari pergi
Mana Iza jiranku menghilang
Hingga kini tak muncul lagi

Melaka pun mendung Jamal - Sue 9.52am



7 Oktober - Isnin

11.59pm - Jamaluddin Khalid

Mata makin kecil saiznya
Menguap pula bertalu-talu
Nak tidur dululah nampaknya
Ada rezeki jumpa selalu


8 Oktober - Selasa

10.33pm - Saido San

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Jangan  buat perangai macam budak-budak
Awak tu dah tua.... :)

Selasa, Oktober 1

Pantun September

Jumlah Pantun (19)

8 September - Ahad

10.53am - Saido San

Anak puyuh boronang-ronang
Boronang-ronang di dalam gulai
Bilo lah orang nak masuk mominang
Bulehlah den jadi mempelai
:) :) :)

Saido, cantik betul pantun tu...
menusuk jiwa.....   Rafian Sham - 10.54am

11.38am - John Hanizam

Anak puyuh boronang-ronang
Boronang-ronang di dalam gulai
Bilo orang dah masuk mominang
Jangan ekau pulak jual mahal...
:)  :)  :)

11.46am - Abd Rahman

Anak puyuh boronang-ronang
Boronang-ronang di dalam gulai
Macammano nak masuk mominang

Hantaran Panerai memang bernilai...
:)  :)  :)

Isnin, September 9

Pertemuan dua hati tidak pernah direstui

Oleh : Farid Din Khalid

Sebuah kisah kehidupan akan kucoretkan di ruang yang terbatas ini.  Kisah yang pernah menyentuh perasaan.  Kisah yang pernah mengusik hati, mengganggu sanubari, menyentak jiwa.  Biarpun kini tinggal memori, tapi ia tetap menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.  Kurestui ia menjadi pahit manis hidupku.
 
Tersiar di Berita Minggu pada 7 Februari 1988
 
Aku tahu Puan Salmi tidak senang aku berkawan dengan dengan anaknya, Mira.  Daripada gerak geri, daripada percakapan, daripada pandangan dan jelingan matanya, aku dapat melihat fenomena ini.
 
Buktinya, terus terang Puan Salmi bertanyakan pada Mira apakah topik perbualan kami, setiap kali kami berbual?  Mira yang menyedari kecurigaan ibunya sudah sanggup berbohong dengan memberikan alasan palsu.  Soalnya, mengapa tidak berterus terang saja? Dan mengapa pula Puan Salmi selalu bertanyakan tentang hal aku dan Mira. Hal kami.

Ahad, September 1

Pantun Ogos

Jumlah Pantun ( 189 )

1 Ogos  - Khamis

1.59am - Jamaluddin Ismail (Di Jeddah)

Ramadhan yang indah amat terasa
Datangnya ia membawa harapan
Sujudlah aku mengenang dosa
Risau tak ketemu di tahun depan

Datangnya ia membawa harapan
Hari kecamuk penuh soalan
Risau tak ketemu di tahun depan
Bulan yang baik dari seribu bulan

Selamat beribadah

Untuk Saido - Selamat layan jem hehehe
(Saido bersungut kerana jalan masih sesak
walaupun hampir jam 2.00 pagi)

2.04am - Saido San

Daun pandan tepi perigi
Tumbuh melata tidak terkawal
Ramadhan akan berlalu pergi
Sayu hati di subuh Syawal

3.39am - Norizah Noor

Tumbuh melata tidak terkawal
Ramadhan akan berlalu pergi
Jom kawan-kawan.. bangun awal
Kita solat, berdoa dan mengaji..

Rabu, Ogos 28

Perjumpaan Hari Raya Ex-STTJ 85/86 2013

Alhamdulillah, Majlis Sambutan Aidil Fitri 2013 dan Reunion Ex-STTJ 85/86 yang diadakan pada 24 Ogos 2013, di Ladang MJ Fatonah Sdn Bhd, di Kampung Teluk Penyamun, Kuala Selangor, telah berjalan dengan lancar dan berjaya.
 
Program ini adalah merupakan acara tahunan dan kali ini merupakan kali ketiga diadakan selama 3 tahun berturut-turut.

Jamil dan Tona: Jasamu Dikenang
 
Tahniah dan terima kasih kepada Jamil dan Tona yang sedia dan setia menjadi host setiap tahun.  Usaha dan tungkus lumus mereka berdua di samping ahli keluarga dan warga MJ Fatonah yang lain, telah melicinkan perjalanan program ini hingga bukan sahaja bagai tidak ada cacat celanya malah memberikan yang terbaik kepada kami semua. Kami sangat-sangat menghargainya dan merasa segan pula atas layanan yang begitu istimewa.  Terima kasih sahabat.
 

Ahad, Ogos 25

Reunion Ex-STTJ 2013

Alhamdulillah program sambutan Aidil Fitri 2013 dan Reunion Ex-STTJ85/86 berjalan lancar.  Artikel khas akan menyusul. (Terkini: Boleh baca artikel berkenaan program yang diadakan pada 24 Ogos, 2013 di Kg Teluk Penyamun  ini di http://masterjamal.blogspot.com/2013/08/perjumpaan-hari-raya-ex-sttj-8586-2013.html 

 
 
Untuk semua rakan yang minta untuk tonton video ini semula dan pada rakan yang tidak dapat hadir, terimalah seadanya video yang di buat dalam keadaan tergesa dan kesuntukan masa ini.
 
Moga terhibur.
 
 
 

Selasa, Ogos 6

Cikgu

Buat Cikgu Faridah Abu Hassan (kini Dr. Faridah Abu Hassan)

Cikgu...
ketika aku masih remaja yang perlukan bimbinganmu
tunjuk ajar mu membuat aku jadi dewasa
nasihatmu menjadikan aku orang berguna
ingatanmu menjadi panduan hidupku

Cikgu...
tika lama terpaksa berhijrah ke luar negara
bersama keluarga mengikuti suami tercinta
aku yang dahagakan tunjuk ajar
masih terus menerima bimbingan dan nasihatmu
melalui surat dan aerogram yang masih tersimpan rapi

Waktu berlalu
kita pun terpisah jauh
seolah tidak lagi dapat bertemu
namun cikgu tetap jadi sumber inspirasi
perjalanan hidup ku teruskan jua

Cikgu...
tiga puluh tahun mencarimu
kini kita jadi rakan di facebook
saya sudah nak bermenantu
cikgu pula mungkin sudah bercucu



Taman Permata, Ulu Klang
6 Ogos 2013
11.33pm
www.puisijamal.blogspot.com


Terima Kasih Cikgu - Upin & Ipin / Najwa Latif


Isnin, Ogos 5

Rapuh - Opick



Biasanya diruang ini, terdapat perkongsian cerita dan disusuli dengan lagu selingan.

Kita tinggalkan biasa-biasa itu, kerana lagu ini sendiri boleh dijadikan cerita dan biarlah coretan ini menjadi selingannya pula.  Lagu tentang hubungan kita dengan tuhan.  Irama dan lirik yang mengalirkan airmata tika pertama kali mendengarnya.


Khamis, Julai 25

Pantun Julai 2013

Pantun yang dikumpulkan daripada ex-STTJ whatsapp group dari
22 Julai - 31 Julai

Jumlah Pantun (63)

22 Julai  - Isnin

11.49pm - Fatonah: Ada pantun ke malam ni?

11.59pm - Utih Yasin

Indah bergaya si bunga mawar
Duri tajamnya menusuk jari
Cerdik agama tunjang dan akar
Budi bahasa perhiasan diri


23 Julai  - Selasa


12.15am - Utih Yasin

Bulan masih dipagar bintang
Malam terang sedari senja
Rajuk kasih kerana sayang
Hati terkenang gurauan manja

12.29am - Sulaiza

Renung-renung bulan mengambang
Sambil memegang batang penyapu
Rajuk kasih kerana sayang
Rindu hatiku hanya dia yang tahu

Jgn lah ada sapa2 yg dapat hadiah
penyapu tu... hehe - Utih

Selasa, Jun 18

Media Sosial Pengikat Siratulrahim

Hari ini bertemu lagi kawan-kawan exSTTJ.

Walaupun yang dapat hadir hanya 5 orang saja, tetapi pertemuan yang 'disiarkan secara langsung' melalui media sosial 'WhatsApp' ini, boleh diikuti oleh seramai hampir 30 orang lagi.

Majlis makan tengahari ini dirancang kerana kebetulan Sue yang datang dari Melaka mempunyai urusan tertentu di Kuala Lumpur.  Gie, yang bekerja di Menara Maybank pula telah lebih 27 tahun tidak bertemu rakan sekelasnya ini telah menawarkan diri sebagai hos.

Khamis, Mei 30

Ber WhatsApp Dengan Kawan-Kawan

Media Sosial yang dimanfaatkan dengan betul tentu memberi kesan yang positif kepada kehidupan kita.
 
Di group ex-STTJ, WhatsApp bukan saja merapatkan kembali hubungan dengan kawan-kawan yang sekian lama terputus, ia juga menjadi tempat perkenalan dengan rakan-rakan yang selama puluhan tahun dulu, bersekolah di tempat yang sama, tapi tak sempat berkenalan pun. 

Lebih dari itu, di WhatsApp, kita semua menjadi kawan yang amat rapat sekali.  Sesuatu yang tidak pernah terduga dan terlintas difikiran pun sebelum ini.
 
Di WhatsApp berjumpa semula dengan Tona, Fian, Yem, Rini, Amin, Rizal, Hasrul Liza dan Rauah. Perkenalan dengan Hasrul Liza dan Rauah hanya bermula 20 tahun selepas persekolahan ketika perjumpaan bersama rakan-rakan lain di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa beberapa tahun lalu.
 
Di WhatsApp bermulanya perkenalan dengan Saido, Sue, Elyn, Iwe, Man, Utih, Leeza, Yatie, Iza, Jaybob, Maszeri, Rafi, Jef, Ashie, Joepinto dan ramai lagi.
 

Sabtu, Mei 18

Anak... Oh Anak...

Tengahari tadi, singgah ke Jusco Wangsa Maju, setelah mengambil Iqmal dari pusat tuisyen.  Kami singgah lama di Kedai Buku MPH sambil membelek-belek buku yang ada. 
 
Begitulah selalunya, jika masuk ke kedai buku, ada saja buku yang dicapai walaupun di rumah masih banyak buku yang belum habis dibaca.  Setelah membeli beberapa buah buku, kami singgah ke restoran makanan segera. Beli sedikit makanan dan masing-masing membaca buku yang baru dibeli tadi.
 
Setelah beberapa ketika, Iqmal nampak terganggu dan mengajak pulang. 
 
"Kenapa, nak?"

Jumaat, April 19

Jumpa di Facebook


Terima kasih
kerana sudi singgah di sini
walau hanya tujuh bulan
bersama mengharungi tanggungjawab
bekerja dengan minat, membantu dengan kesungguhan
hasil yang diberikan sungguh baik sekali

Maafkan kami
sekiranya di sepanjang perjalanan ini
mungkin tidak dapat memenuhi kehendak
mungkin ada memungkiri janji
mungkin terkasar bahasa, tersilap bicara
kerana kami hanya manusia biasa
yang tidak terlepas dari silap dan dosa

Sabtu, April 13

STTJ: Kunjungan Yang Tidak Dirancang


Peluang untuk bertemu rakan-rakan lama ketika bersama di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar (STTJ), Seremban, tidak boleh dilepaskan apabila pertemuan dirancang bagi meraikan seorang rakan yang akan bekerja di Iraq. Untuk itu, satu jamuan makan tengahari diadakan di Restoran Sifu Al-Ifra, sebuah restoran Cina Muslim, di Seremban.
 
Bergambar sementara menunggu Jaybob yang tersesat di bandar sendiri.
Gambar Ikhsan dari Maszeri
 
Program yang dianjurkan oleh Yatie dan Jeff (antara yang bercinta di STTJ hingga ke jinjang pelamin), dihadiri oleh Tona dan keluarga dari Kuala Selangor, Amin, yang berseorangan dari Kelang, Hafiz dari Tampin, Has dan anak-anak dari Bangi, Leeza dari Seremban, Maszeri dan anaknya dari Kuantan yang kebetulan melawat anaknya itu di STTJ (kira junior kami di STTJ lah ha ha), kami dari Ulu Klang dan yang diraikan Jaybob dari Seremban.
 

Rabu, April 3

Berchatting Dengan Sahabat Lama

Alhamdulillah, hari ini dapat berchatting dan berbual dengan 2 orang sahabat lama. 

Dr. Azmi Jaafar
Bertemu semula pada selepas 17 tahun
Setelah sekian lama terputus hubungan, facebook seakan (sebenarnya takdir Allah) berikan peluang untuk bertemu semula walaupun secara maya.

Dr Azmi Jaafar yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka, bersekolah di Kuala Lumpur sehinggalah menyambung pelajaran di bidang kedoktoran di Airlanggar Universiti, Surabaya, Indonesia. Bertugas di Hospital Melaka/Muar sebelum membuka klinik sendiri di Melaka pada tahun 2003.

Kami sempat bersama-sama bersekolah di La Salle Jalan Peel dan di Sekolah Jalan Cochrane sebelum masing-masing melanjutkan pelajaran ke tempat lain.  Saya berpindah ke Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban manakala Dr Azmi terus di sekolah yang sama sebelum ke melanjutkan pelajaran di UPM sebelum ke Indonesia.

Jumaat, Mac 29

Melawat Ladang MJ Fatonah Sdn Bhd

Alhamdulillah, peluang bercuti ke Kuala Selangor, sempat menziarahi bekas rakan sekolah ketika kami sama-sama sekelas di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban.
 
Lawatan kami sekeluarga yang disambut mesra oleh Fatonah Arbain dan suaminya, Mohd Jamil serta keluarga beliau di Ladang Penternakan MJ Fatonah Sdn Bhd, di Kampung Teluk Penyamun, memberi banyak kenangan manis yang seronok untuk dikongsikan.


Tona dan Jamil

 
MJ Fatonah Sdn Bhd (MJF) diterajui oleh Siti Fatonah Arbain (nama glamour di sekolah; Tona) sebagai Pengarah Urusan dan dibantu oleh Mohamad Jamil bin Mahidin (MJ) sebagai Pengarah Operasi, adalah sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan projek penternakan lembu dan kambing fidlot secara komersial. MJF juga menjalankan projek ternakan ayam kampung, itik pedaging dan itik telur.