Selasa, Ogos 18

Kelahiranmu

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpahan rahmatNya, dapatlah terus bernafas di dunia ini dan diberikan ilham untuk lahirnya blog ini bersama lahirnya seorang insan.

Apalah kelebihan dan kegembiraan menjadi seorang ayah kepada anak yang telah berkahwin selain menanti kehadiran seorang cucu.  Dan hari ini adalah harinya.
 
 
Tepat jam 9.13 pagi ini di Hospital Ampang, Selangor; lahirlah seorang bayi yang ditunggu-tunggu oleh ayah dan ibunya, datuk dan neneknya serta seisi keluarga yang lainnya. 
 
Masih ternyiang-nyiang suara isteri apabila menalifon dan memberitahu berita gembira itu.  Walau tak nampak di mata, tetapi dari nada suara itu, terbayang betapa gembiranya dan beriya-iyanya dia memaklumkan perkhabaran yang ditunggu-tunggu itu.  Terbayang keceriaannya dan mungkin ada airmata yang bergenang dikelopak matanya. 

Pada waktu itu, tanpa menerima apa-apa darjah kebesaran dari mana-mana istana, gelaran Datuk menjadi milik datuk ini.  Sempat mengusik isteri dengan memanggilnya 'Datin' apabila mengucapkan syukur dan tahniah kepadanya.
 
Ketika sampai di hospital di waktu tengahari, isteri tidak sabar-sabar ingin turun dari kereta untuk menatap wajah cucu sulungnya.  Minta segera diturunkan di depan lobi hospital.  Hanya tersenyum sambil mencari parking kereta selepas itu.  Dan akhirnya, pada jam 12.52 tengahari, dapatlah mata ini buat pertama kalinya menatap cucu seberat 2.36kg yang cukup comel itu. 

Alhamdulillah, syukur kepadaMu Ya Allah. Anak gembira. Menantu ceria. Cucu sihat.  Sukar untuk menggambarkan perasaan ketika itu.  Masih sukar untuk menggambarkan perasaan ketika ini. Biarkan waktu menggambarkannya nanti.
 
Dan cucu lelaki bertuah itu diberi nama Nuh Zill Qayyim Bin Mohd Zulfadli Adhwa.


Sumber:  www.nuhzillqayyim.blogspot.com