Jumaat, Mac 29

Melawat Ladang MJ Fatonah Sdn Bhd

Alhamdulillah, peluang bercuti ke Kuala Selangor, sempat menziarahi bekas rakan sekolah ketika kami sama-sama sekelas di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban.
 
Lawatan kami sekeluarga yang disambut mesra oleh Fatonah Arbain dan suaminya, Mohd Jamil serta keluarga beliau di Ladang Penternakan MJ Fatonah Sdn Bhd, di Kampung Teluk Penyamun, memberi banyak kenangan manis yang seronok untuk dikongsikan.


Tona dan Jamil

 
MJ Fatonah Sdn Bhd (MJF) diterajui oleh Siti Fatonah Arbain (nama glamour di sekolah; Tona) sebagai Pengarah Urusan dan dibantu oleh Mohamad Jamil bin Mahidin (MJ) sebagai Pengarah Operasi, adalah sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan projek penternakan lembu dan kambing fidlot secara komersial. MJF juga menjalankan projek ternakan ayam kampung, itik pedaging dan itik telur.


Tona bahagia di ladang ternakan

 
Bermula dengan MJ Fatonah Enterprise pada 9 Feb 2005 dan diikuti dengan MJ Fatonah Sdn Bhd yang didaftarkan pada 20 Ogos 2008, pasangan suami isteri ini masih menjalankan aktiviti dan matlamat perniagaan yang sama tetapi perubahan nama telah memberi peluang yang lebih untuk mereka menembusi pasaran dengan skala yang lebih besar lagi.
Iqmal dan kambing Boer 

Dengan ladang seluas 2.5 ekar yang terletak di Kampung Teluk Penyamun, Bestari Jaya (tetapi lebih hampir dengan Kuala Selangor), 60km dari Kuala Lumpur, mempunyai sebuah kandang lembu yang mampu memuatkan 300 ekor lembu dan dua buah kandang kambing dengan kapasiti 700 ekor kambing dalam satu masa, kabin pekerja, rumah baja, rumah sembelihan, stor makanan, bilik kuliah, dewan makan, surau dan bilik penginapan yang berhawa dingin dengan kapasiti seramai 44 orang peserta (6 bilik).

Dengan penubuhkan MJ Fatonah Poultry, MJ Fatonah terus mengembangkan sayap perniagaannya ke dunia unggas dengan reban ayam kampung yang mampu memuatkan 2,000 ekor ayam, 1,000 ekor itik penelur (Khaki Campbell) dan 1,000 ekor itik pedaging (Muscovy) dalam sesuatu masa. Juga terdapat berbagai spesis unggas eksotik seperti ayam belanda, ayam mutiara, angsa, puyuh, merak dan arnab.
 
Sempat menyaksikan kelahiran 2 ekor kambing

Kebetulan semasa kami ke kandang kambing beliau, seekor kambing sedang melahirkan 2 ekor anaknya.  Kami sempat merakam gambarnya.  Setelah melawat hampir keseluruhan ladang ternakan beliau selama hampir 2 jam, kami dihidangkan pula dengan jamuan makan tengahari masakan kampung dengan itik masak kari, puyuh goreng, ikan sebelah dan sebagainya yang enak sekali.  Dalam sibuk dengan urusan kerja dan melayan kami sekeluarga, Tona sempat pula masakkan sendiri untuk kami.  Memang superwoman sungguh kawan seorang ni.
 
Terima kasih kepada Tona dan keluarga atas layanan yang istimewa kepada kami.  Sememangnya kunjungan singkat ini, dalam suasana kampung yang nyaman dan segar, begitu bermakna bagi kami yang tinggal di bandaraya Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk dan hiruk pikuk ini.
 
Sekiranya ada kesempatan dan rezeki, kami berhasrat ke sana lagi nanti, insyaAllah.

Lagu selingan sebagai santapan jiwa
 
 

2 ulasan:

  1. Tq, Jamal. Kami sekeluarga juga sgt berbesar hati menerima kunjungan Jamal sekeluarga ke ladang kami.
    Insya Allah silaturrahim persahabatan kita kekal.
    SAHABAT ~ UNTUK SELAMANYA..Tona

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum MjFatonah, saya adzummar dari terengganu ingin dapat peluang untuk melawat dan belajar menternak itik. Saya berhasrat untuk menceburi bidang ternakan.

    BalasPadam