Jumaat, November 1

Pantun Oktober

Jumlah Pantun ( 147 )

1 Oktober - Selasa

4.03am - Utih Yasin

Kalau nak gugur, gugurlah nangka
Jangan menimpa dahan rambutan
Kalau nak tidur, tidurlah mata
Jangan mikir yang bukan bukan...

9.40am - Jamaluddin Khalid

Pagi redup di Ulu Kelang
Mendung hadir mentari pergi
Mana Iza jiranku menghilang
Hingga kini tak muncul lagi

Melaka pun mendung Jamal - Sue 9.52am



7 Oktober - Isnin

11.59pm - Jamaluddin Khalid

Mata makin kecil saiznya
Menguap pula bertalu-talu
Nak tidur dululah nampaknya
Ada rezeki jumpa selalu


8 Oktober - Selasa

10.33pm - Saido San

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Jangan  buat perangai macam budak-budak
Awak tu dah tua.... :)

10.34pm - Saido San

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Malam-malam sibuk berbedak
Konon nak cover kedut di muka

Do dah buka sayembara nampak... Ishh... gatal lak jari ni.... - Elyn  10.35pm


10.38pm - Saido San

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Hati gelora jiwa bergelodak
Dara merindu pada si Uda

Eh... sessi pantun dah mula ker? Rauah - 10.39pm

10.40pm - Elyn Shalina

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Rasa malu sorok dalam kotak
Kotak takde tutup jer muka..

10.40pm - Rauah

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Walaupun perangai macam budak-budak
Badan aku macam dah tua...

Atehhhh... tehhhh... tehhh... Rauah 10.40pm

Hihihi... Rauah... kita serupa.  Elyn - 10.41pm
Young at heart you... Elyn - 10.41pm

10.43pm - Elyn Shalina

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Saido suruh tepek muka dengan bedak
Err... tak ke nanti nampak lagi muda

10.43pm - Rauah

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Esok rasa macam nak makan cucur badak
Ada sesiapa yang nak belanja??

10.45pm - Elyn Shalina

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Jamal kau la buat cok badak
Esok aku pun nak tumpang sama

10.45pm - Rafi (Baru balik dari Arab Saudi petang tadi)

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Daun selasih di makan budak
Batang selasih di makan kuda

Rafi... ko dah tenang ke?
Berapa banyak kuda daa... dalam pantun ko... Elyn - 10.46pm

10.46pm - Waz

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Rasa hati nak join berborak
Tapi kena tidur esok kerja

10.50pm - Fatonah

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Rafi pun nak berpantun jugak
Tak yah lah.. lepaskan saja rindu di dada...

11.31pm - Hanizam

Enjit-enjit bubur
Air pasang dalam
Kengkawan bila nak tidur
Hari sudah larut malam...

11.36pm - Sulaiza Sulaiman

Pagi pagi pergi Sintok
Pergi dengan buah hati
Mata belum rasa ngantuk
Sebab tu tak tidur lagi

11.40pm - Fatonah

Jalan-jalan ke rumah Saido
Ke tepi jeram untuk berkelah
Dah mata tak boleh tidur
Kita layan whatsapp aje lah

11.45pm - Jamaluddin Khalid

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Ku ajak tidur badan tak hendak
Ku bawa membaca rehatkan minda

11.57pm - Fatonah

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Nak buat kerja, tiada mood pulak
Pekena kopi fibre segar biji mata

9 Oktober - Rabu

12.15am - Jamaluddin Khalid

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Kini mata minta ke hendak
Esok kita jumpa lagi daa...

Good nite frens...zzz

11.28pm - Hanizam

Enjit-enjit bubur
Air pasang dalam
Den dah nak tidur
Hari sudah larut malam

11.43pm - Fatonah

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Letih seharian menyediakan tapak
Istana comel buat ayahanda dan bonda

InsyaAllah

11.54pm - Jamaluddin Khalid

Daun selasih dimakan kuda
Batang selasih permainan budak
Istana dibina untuk ayah dan bonda
Jangan lah besan turut tersedak
:)  :)

10 Oktober - Khamis

12.00am - Elyn Shalina

Badai bertarung petir berdentum
Samudra bergulung jiwa terbelah
Biar setasik kiambang menguntum
Dedalu tetap kan tumbuh mencelah

Tepat jam 12.00 tengah malam dan Elyn dengan pantun klasiknya - Jamal 12.01am

12.06am - Jamaluddin Khalid

Badai bertarung petir berdentum
Samudra bergulung jiwa terbelah
Biarpun bibir senyum menguntum
Mata dah layu ngantuk terserlah

12.14am - Abd Rahman

Kias bahasa berutas mutiara
Jinjit sidara kain berlipat
Andai budi tersarung lara
Kuncikan ia tertutup rapat

12.18am - Elyn Shalina

Kias bahasa berutas mutiara
Jinjit sidara kain berlipat
Budi ditabur dibalas lara
Tak guna dikenang apatah diingat

12.52am - Fatonah

Nenek nenek dibongkok tiga
Siang mengantuk malam berjaga
Nenek, nenek kan dah tua
Yang tak tidur tidur tu kenapa...?
:)  :)  :)

Ha ha ha... Lyn ke Tona? - Elyn 12.55am
Kita serupaaaaa.... hahaha - Tona 12.56am

12.58am - Elyn Shalina

Nenek nenek dibongkok tiga
Siang berjaga malam pun berjaga
Menjaga cucu yang ramai dara
Takut ditangkap si teruna sasa

8.49pm - Jamaluddin Khalid

Pantun buat Iza:

Lama sudah menghilang diri
Kawan-kawan tertanya-tanya
Khabar apakah sekarang ini
Moga sihat sejahtera hendaknya


11.25pm - Elyn Shalina

Menampi padi sawah berelong
Merungkai abis sekamnya tiada
Biar berpintal diruasnya betong
Dilentur menunduk patahnya tiada

Elyn, klasik sungguh tu... huraikan sikit - Jamal 11.28pm
Simple je Mal... pantun jangan berputus asa je tu... - Elyn 11.29pm

11.30pm - Abd Rahman

Padi bertampi huma serelong
Sekam bertapis hampas seraya
Tiada berpintal ruasnya bentong
Ku urai kudrat selagi daya

Secara jujurnya... aku suka Man punya pantun - Waz 11.33pm

11.50pm - Abd Rahman

Berkait rotan senduduk bertepi
Adat kuasa alam buana
Puji terpahat bunyinya sepi
Tidak ku megah tunduk merana...

Pembayang hebat, makna pun mantop - Waz 11.52pm

11.54pm - Utih Yasin

Layan pantun:

Dari hulu menuju pengkalan
Anak senangin di dalam raga
Bagai debu inap di papan
Ditebar angin melayang juga

11.55pm - Jamaluddin Khalid

Berkait rotan senduduk bertepi
Adat kuasa alam buana
Man memang duduk ditepi
Kalau ditengah tentulah merana

11 Oktober - Jumaat

12.26am - Abd Rahman

Tiada duri mawar berjampi
Suntingan buat si dara hati
Lena beralun menjurai mimpi
Bertemu israq subuh dinanti

8.43am- Utih Yasin

Usah diselam air perigi
Balam menguku di tengah laman
Sembah salam dan selamat pagi
Buat sahabatku yang budiman

8.48am - Utih Yasin

Pakai capal didalam hutan
Pohon beringin disangka pauh
Berhenti kapal tengah lautan
Menanti angin belayar jauh

8.55am - Utih Yasin

Keluk tengah tingginya ampai
Hendak dipotong biar sekaki
Jangan lengah janjikan sampai
Untung untung mendapat rezeki

9.35am - Elyn Shalina

Kalau kail panjang sejengkal
Lautan dalam usah diduga
Kalau tuan dalamnya akal
Janji ditabur usah didusta

12 Oktober - Sabtu

1.10am - Utih Yasin

Kayu kempas empulur teras
Titian mandi orang berjudi
Ada beras kerja pun deras
Ada padi kerja menjadi

Cerita kopi dan emas, Utih. Tak cerita beras dan padi. :)  - Jamal 1.11am

1.20am - Utih Yasin

Awan larat di tengah bendang
Anak keli Nampak di bakul
Sungguh berat mata memandang
Berat lagi bahu memikul

1.20am - Saido San

Kayu kempas empulur teras
Titian mandi orang berjudi
Sepeha daging segantang beras
Buat hidangan dihari kenduri

1.22am- Saido San

Awan larat di tengah bendang
Anak keli nampak di bakul
Budi di tabur tidak dipandang
Wang ringgit juga perlu menyusul

1.28am - Utih Yasin

Saido..

Buluh gading hiasan mahligai
Tanam rapat di tepi titi
Hancur daging tulang berkecai
Selagi tak dapat belum berhenti...

1.39am - Saido San

Buluh gading hiasan mahligai
Tanam rapat ditepi titi
Usaha keras hajat tercapai
Bersyukur kita pada illahi...

1.42am - Utih Yasin

Alhamdulillah... Ammin

Burung balam di rumah Saido
Dah makin malam jom kita tido...

2.04am - Jamaluddin Khalid

Pantun lama:

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Istiqamah dalam usaha dahulu
InsyaAllah bersenang-senang kemudian

2.36am - Jamaluddin Khalid

Terkenang lalu tertanya:

Bila salam tidak bersambut
Khabar berita tidak bersahut
Debar hati menjadi kalut
Apakah bicara tersalah sebut?

2.56am - Waznah

Bila salam tidak disambut
Panggilan manja tidak disahut
Jangan Jamal rasa serabut
Mungkin kawan-kawan semua dah tarik selimut

3.08am - Fatonah

Indahnya cinta si dara bujang
Cinta sejati tiada penghujungnya
Terbangun dari lena yang panjang
Teringat sahabat, apa khabarnya

3.15am - Waznah

Serindit berlagu ditepi kali
Merdu disahut buluh perindu
Semua sahabat sudah bermimpi
IsnyaAllah subuh nanti lagi bertemu

6.59am - Jamaluddin Khalid

Cinta sahabat juga sejati
Bagai ikatan tersimpul mati
Khabar berita sentiasa dinanti
Agar tenang rasa di hati

10.46pm - Utih Yasin

Dara sunti mengadap cermin
Hendak melentik si bulu mata
Bagai merpati sanding di pelamin
Nampak cantik bagai permata

10.50pm - Utih Yasin

Hujan siang tanah membasah
Tumbuh di gambut si pohon jati
Kasih sayang tidak terpisah
Bagaikan rambut tersimpul mati

11.02pm - Utih Yasin

Buluh betong buat sumpitan
Buat membedek kancil berakal
Tujuh gunung sembilan lautan
Kerana adik bagai sejengkal

11.15pm - Leeza

Sang teruna membeli sepatu
Sepatu dipakai sambil berlalu
Walau jauh beratus batu
Namun dihati dekat selalu

... berpantun la pulak aku... - Leeza 11.15pm

11.17pm - Elyn Shalina

Nak try jawab pantun Utih.

Buluh betong beralun suara
Menusuk kalbu segenap hati
Tujuh petala tujuh kencana
Abang yang jauh bagai disisi...

11.24pm - Leeza

Jangan dijemur sutera yang basah
Nanti ditegur dek pari-pari
Kasih sayang tidak terpisah
Tersemat teguh disanubari...

Teruskan Leeza.... nak zzz nite2 Leeza.  - Elyn 11.27pm

11.43pm - Fatonah

Jangan dijemur sutera yang basah
Nanti ditegur dek pari-pari
Kata orang usah dikisah
Redha Allah sahaja yang kita cari

13 Oktober - Ahad

6.51am - Jamaluddin Khalid

Mata terpisat menjadi mamai
Terbangun dari kejutan mimpi
Kawan baik tidaklah ramai
Seorang menghilang terasa sepi

6.59am - Waznah

Mata terpisat menjadi mamai
Tersedar dari buaian mimpi
Jangan dinanti kawan yang ramai
Yang ada kini harus dihargai

Menitik airmata baca pantun Waz.  Memang menyentuh kalbu.
Tak terjawab pantun tu, Waz.   - Jamal 7.03am

7.25am - Sulaiza

Dua tiga kucing berlari
Manakan sama di kucing belang
Dua tiga boleh ku cari
Mana nak sama Tona seorang

9.03am - Jamaluddin Khalid

Pantun untuk Iza

Orang pemalu rakan tak ramai
Bila berkawan terasa rapat
Bila hilang menjadi mamai
Kerana persahabatan dah jadi erat

9.06am - Norizah

Orang pemalu rakan tak ramai
Bila berkawan terasa rapat
InsyaAllah kita tak kan mamai
Sebab tenggelam sekejab, hilang tak sempat

14 Oktober - Isnin

11.45am - Utih Yasin

Berpantun untuk pertandingan...

Tanah rata bendang di sana
Nenek tua menabur padi
Andainya kita berjiran Tona
Bunglow dua jadi semi-D


22 Oktober - Selasa

9.15pm - Utih Yasin

Jamal

Baik-baik memilih selasih
Pinang sembawa didalam tampi
Baik-baik memilih kekasih
Jangan dibawa di dalam mimpi...

Menjerit orang sebelah nanti...

9.19pm - Saido San

Jamal

Baik baik memilih selasih
Pinang sembawa didalam tampi
Hati teringin punya kekasih
Sampai kini belum ku temui...

11.51pm - Jamal Saudi

Utih...

Melati putih ditepi pintu
Indah dilihat tiada jemu
Kasihku beribu, kekasihku satu
Mimpi yang indah pasti bertamu

ok, dah jawab Utih... Habis hutang...

11.53pm - Jamal Saudi

Untuk Saido...

Putera raja senyum bermimpi
Mimpi indah bertemu ratu
Jangan dibuai hati yang sepi
Panjatkan doa pada yang satu

11.56pm - Utih Yasin

Pisang ditebang padi ditampi
Dibuat lepat di majlis berkhatan
Bersayap terbang didalam mimpi
Semoga dapat jadi kenyataan.

23 Oktober - Rabu

12.26am - Leeza

Pantun untuk Jamal Saudi

Buah delima sibuah pauh
Jangan disimpan diatas peti
Walau Jamal berada jauh
Namun sentiasa dekat dihati

Kak Noly... pandaiiii - Waz 12.27am
Mal... Jawab Mal... - Waz 12.27am

12.33am - Jamaluddin Khalid         

Walau Jamal Saudi jauh dimata
Namun sentiasa dekat dihati
Leeza dan Waz menongkat mata
Pantun Jamal Saudi sedang dinanti

Jamal UKπŸ‘πŸ‘πŸ‘✅✅✅ Waz - 12.34am
Yeayy Jamal Selasih dah muncul - Leeza 12.34am

Adeh... ingat nak tolong aku.
Kembar aku dah betray aku... ceh.. - Jamal Saudi 12.34am

12.39am - Jamaluddin Khalid

Nak tolong kembar pulak...

Jamal Saudi baru balik bekerja
Nak lepas lelah pun tak sempat
Janganlah dera secara bersahaja
Tenang nanti pantunnya pasti dapat

12.40am - Leeza

Kuih pengat kuih lepat
Bersabar pasti dapat

12.43am - Elyn Shalina

Cemara bertampi berlagu merdu
Seruling mengalun menitik serong
Bagai sang bayu menitip sendu
Merintih rasa bak jiwa yang kosong

12.44am - Jamal Saudi

Buah delima sibuah pauh
Jangan disimpan di atas peti
Walau jasad berpisah jauh
Hati yang mesra terpatri pasti

12.45am - Waznah

Gemersik suara burung terkukur
Memanggil syahdu pada di rindu
Seperti menanti buah tak gugur
Biarkan aku berlalu pergi beradu

Puas hati Waz dapat pantun Jamal Saudi
Bawalah beradu hingga ke mimpi, ya, Waz :) - Jamal 12.59am

12.46am - Elyn Shalina

Melangkah anak bagai pahlawan
Biar dilihat semua terpikat
Bersenda loka bagai gurauan
Maksud yang dalam dapatkah di sirat

24 Oktober - Khamis

12.23am - Utih Yasin

Hujan rintik di tanah rata
Burung balam mengemas dada
Belum menitik embun di mata
Tandanya malam yang masih muda

1.16am - Fatonah

Hujan rintik di tanah rata
Burung balam duduk terpaku
Rindu pada yang jauh di mata
Apakah masih ingat padaku...

Pergh!!! Pantun rindu tu...

Utih.. bangun tih..
Jom pantun jom... - Tona 1.17am

1.24am - Sulaiza

Intai padi antara nampak
Esok jangan layu layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu rinduan

10.43pm - Utih Yasin

Senduduk biru di atas batu
Reput perdu pohon kekabu
Terduduk lesu di balik pintu
Bila rindu menikam kalbu...

Ngehngeh...

10.53pm - Jamaluddin Khalid

Cengkerik dan katak saja berbunyi
Putaran masa semestinya taat
Suasana malam terasa sunyi
Rupanya malam ni malam jumaat

Ramai baca yaseen yer twin? - Jamal Saudi 10.54pm

10.55pm - Gie (Berada di Jakarta - bertugas)

Duduk bermalas best rasanya
Tak sedar waktu cepat berlalu pergi
Mata dah layu badan penat rasanya
Aduh... mandi pulak belum lah lagi

11.01pm - Jamal Saudi (Jam 6.01pm waktu Jeddah)

Sungguh indah sikap kiambang
Biduk lalu kembali bertaut
Hati yang resah bertambah bimbang
Rindu ku lontar tidak bersahut

Sambung pantun Sue... - Jamal Saudi 11.01pm
Yess... best my classmate - Sue 11.01pm

11.23pm - Fatonah

Malam beradu beralas baldu
Baldu bersulam bersilang rapat
Dalam hati menggamit rindu
Gathering Disember harap terubat

11.25pm - Fatonah

Makan coklat bersama Saido
Mata dah kelat, jom la tido

11.29pm - Jamal Saudi (Jam 6.29pm waktu Jeddah)

Hi Leeza, Tona

Ikan salai si ikan masin
Tona nak gi baca yaseen..

11.32pm - Sulaiza

Daun selasih makanan kuda
Malam masih muda

11.36pm - Fatonah

Sikit kena beli, banyak kena borong
Leeza yang asli, tak mau Utih tolong

Zain pun boleh beri pantun... - Jamal Saudi 11.36pm
Leeza, nak yang asli, tak mau Utih tolong - Tona 11.37pm
Kalau aku karang, lambat sikit la... - Leeza 11.37pm
Aku lagi fail Mal, bab bab pantun ni... - Zain 11.37pm
Hantam jer jiranku... bukan utk pass periksa - Jamal Saudi 11.38pm

11.38pm - Fatonah

Beruk kena sembelih
Pantun rock pun boleh..

11.38pm - Utih Yasin

Pantun lagi

Berdaun lebat pohon setawar
Burung belatuk mainan budak
Apakah ubat apakah penawar
Mata mengantuk tidur tak hendak?

πŸ‘ Jamal Saudi 11.39pm

11.40pm - Fatonah

Pantun lagi

Berdaun lebat pohon setawar
Burung belatuk di pohon setanggi
Senang sajer ubat dan penawar
Layan whatsapp ler, apa lagi?

11.41pm - Jamaluddin Khalid

Batang selasih permainan budak
Daun selasih di makan kuda
Mata mengantuk tidur tak hendak
Itu tandanya malam masih muda

Jamal dah sampai dengan pantun selasihnya... - Tona 11.41pm

11.49pm - Jamaluddin Khalid                 

Siram selasih dihujung halaman
Mengenang kekasih dalam percintaan
Kemanalah pergi rakanku Man
Bagai tak muncul sehari-harian?


25 Oktober - Jumaat

11.45pm - Jamal Saudi

Merpati balap membuat sarang
Serindit jawa siul-siulan
Cahaya kota terang benderang
mengapa sipungguk rindukan bulan?

Macam merindu teramat sangat je, twin? - Jamal 11.46pm
Hahaha... - Jamal Saudi 11.47pm

11.49pm - Gie

Merpati balap membuat sarang
Serindit jawa siul siulan
Bukankah rindu tandanya sayang
Tidaklah salah pungguk rindukan bulan

πŸ‘ Jamal Saudi 11.50pm

11.58pm - Jamaluddin Khalid

Serindit jawa siul-siulan
Siul-siulan di tepi titi
Manakan pungguk tak rindukan bulan
Jauh di mata dekat di hati

πŸ‘ hehehe  - Jamal Saudi 11.59pm

26 Oktober - Sabtu

12.00am - Utih Yasin

Bulan menyapa pungguk tersedu
Luka paruhnya tak kekal lama
Kerana apa pungguk merindu
Kerana kasihnya takkan bersama

Pantun Utih tepat jam 12.00am di hari baru - Jamal 12.01am

12.11am - Utih Yasin

Bersambar petir ditengah bendang
Di tengah jalan orang berdendang
Menanti takdir berkunjung datang
Beradat bulan bertepak bertandang

12.19am - Fatonah

Burung terbang dipipis lada
Panah dilepas tidak mengena
Sepi hati rindu melanda
Mataku pejam tapi tak lena

Hehehe... Tona dah join, - Jamal Saudi 12.20am
Rindu siapa, Tona? - Jamal 11.23am

11.23am - Utih Yasin

Jalan meniti ke sana sini
Bawa sesikat pisang dipeti
Apa dihati hanya berseni
Tidak terikat hidup dan mati

12.24am - Jamal Saudi

Hati nyamuk tujuh dulang
Tanda kasih buktinya sayang
Sunyinya hati bukan kepalang
Suara kurindu, wajah terbayang

Peweeetttt..... Jamal Saudi hebat.. - Utih Yasin 12.27am

12.27am - Fatonah     

Jamal,

Beli kerang bersama ragi...
Rindukan korang la... siapa lagi??...

12.28am - Saido San

Abu dan Mail pergi ke kebun
Sayur dikebun di tabur baja
Korang terus kan lah berpantun
Aku masih sibuk bekerja

12.28am - Elyn Shalina

Petir menyambar guruh bertempik
Tasik nan tenang berkocak sudah
Purnama terang pungguk mencelik
Menanti ke siang tak kunjung sudah

12.37am - Elyn Shalina

Hati nya kuman tujuh dulang
Meniti gunung hasrat terkandung
Hatinya sunyi tiadalah kepalang
Menanti pertemuan yang akan berlangsung

12.51am - Gie

Berbalas pantun budaya kita
Terasa teruja untuk mencuba
Mata dah ngantuk tidak terkira
Esok-esok je lah saya mencuba



11.19pm - Utih Yasin

Indah warna si bunga melati
Mawar biru di tepi paya
Asmara cinta mengikat hati
Pelangi rindu menampi bahagia

πŸ‘ - Jamal Saudi 11.21pm

11.36pm - Jamal Saudi

Seperti ikan terkena tuba
Pepatah Melayu membawa makna
Semakin jauh semakin hiba
Batin tersiksa jiwa merana

πŸ‘ - Utih Yasin 11.38pm

11.52pm - Izwas (1st time berpantun di group)

Pepatah melayu memang banyak makna
Boleh diguna tak kira usia
Kalau dah jiwa terseksa batin merana
Beli tiket baliklah Malaysia

Hahaha... hampeh punya jawapan.
Tapi pantunnya best πŸ‘ - Jamal Saudi 11.53pm
Hj Was - Waznah πŸ‘  11.53pm
Terkesima dengan 1st time pantun daripada Tn Hj Was πŸ‘ - Jamal 11.56pm


11.55pm - Rafi

Sorong papan tarik papan
Buah keranji atas peti
Kalau dah jiwa tak tertahan
Ikutlah nasihat Tn Haji...

Ceh Wah! Rafi dah masuk gelanggang - Iwe 11.54pm

11.55pm - Leeza                          

Sutera sari kain berwarna
Datangnya dari benua India
Usah dibiar jiwa merana
Ceriakan hati membawa bahagia

Rafi dan Leeza: πŸ‘πŸ‘  - Waz 11.56pm
Leeza pun best - Iwe
11.56pm
Twin, u rasa pantun Leeza ni ori ke? - Jamal 11.57pm
Ori... - Jamal Saudi 12.00am (hari baru)



27 Oktober - Ahad

12.07am - Jamaluddin Khalid

Leeza bermenung di waktu senja
Baru kembali membaiki kereta
Kami hanya mengusik saja
Jika terguris maaf di pinta

12.13am - Izwas

Ni bagi aku cuba..

Pergi ke India mencari sari
Sari sutera pilihan hati
Pantun Cik Leeza memanglah ori
Kami mengusik jer janganlah lari

Iwe πŸ‘πŸ‘ - Jamal 12.13am

12.13am - Jamaluddin Khalid

Leeza,

Sedih hatimu pilu hatiku
Kawan yang ramai semakin sepi
Jika sukar maafkan daku
Ampunkan saja di dalam mimpi
:) :)

12.15am - Leeza

Buah kurma di atas peti
Sayang pulak nak di makan
Wahai twin yang baik hati
Tiada salah yang nak dimaafkan

Alhamdulillah - Jamal 12.15am
Pantun Iwe pun nak kena balas ker.. - Leeza 12.16am

12.17am - Jamal Saudi

Cincin emas di atas peti
Cincin suasa menyeri jari
Usahlah Leeza terasa hati
Nanti Master Jamal beri emas selori

Boleh tak, twin? - Jamal Saudi 12.17am
Patut-patut lah, twin.. Tak kan sampai selori hahaha - Jamal 12.17am
Yeayy... - Leeza 12.17am

12.20am - Fatonah

Dayung perahu mudik ke tepi
Menanti si dara bertandang lagi
Hati sayu semakin sepi
Teman bersenda berlalu pergi

12.23am - Leeza

Anak kucing berlari lari
Berlari lari sampai ke jeti
Memang aku tak kan lari
Korang semua penghibur hati

12.27am - Leeza

Pantun aku pantun ori
Usah kalian ragui lagi
Kalau Jamal nak bagi emas selori
Biarlah aku merajuk lagi...
:)  :)
12.37am - Gie (Di Jakarta)

Assalamualaikum

Salam diberi pembuka bicara
Nak join teman-teman berpantun seloka
Namun badan penat dah tak nampak cara
Mohon untuk berehat dan tidur seketika

12.38am - Fatonah

Berenang-renang ke hulu
Berenang sampai Kota Gelanggi
Tona nak tidur dulu
Esok kita borak-borak lagi

7.13am - Jamaluddin Khalid

Pantun meriah di malam hari
Mengikut rentak jari menari
Mengenang rakan yang menyendiri
Kita akur pilihan mereka sendiri

7.25am - Sulaiza

Masuk hutan mencari kayu
Terjumpa pula pokok cili
Usah dipujuk usah dirayu
Biarlah mereka bersendiri

7.27am - Fatonah

Masuk hutan mencari kayu
Terjumpa pula pokok cili
Bukan nak pujuk atau merayu
Terus berdoa mereka kembali

Setuju dengan Tona - Jamal 7.27am

7.28am - Rauah

Masuk hutan mencari kayu
Terjumpa pula pokok cili
Tak payak dipujuk atau dirayu
Bila dah tenang harapnya mereka kembali

InsyaAllah - Tona 7.29am

7.31am - Sulaiza

Kala pagi menebang hutan
Supaya jalan nampak terang
Apabila rindunya  tahap gaban
Mereka pasti minta di undang

Harapnya begitulah... - Jamal 7.32am

8.21am - Utih Yasin

Pagi hari kita sarapan
Telur mata sebagai teman
Senyum pagi dibiasakan
Moga kita dirahmati tuhan...

11.31pm - Jamal Saudi

Jinak-jinak burung merpati
Makan ditangan, ditangkap lari
Jangan dicuba bermain hati
Jika cinta hanya sehari

Jinak- jinak kucing persia
Suka dibelai comel ragamnya
Hati yang suram kembali bermaya
Cinta ku baja mekar akhirnya

11.44pm - Waznah

Jinak jinak burung merpati
Makan ditangan ditangkap lari
Terasa di hati belum nak tidur lagi
Tapi kelopak mata bertaup rapi

28 Oktober - Isnin

12.09am - Izwas (Di Masjidil Haram, Mekah)

Gadis dahulu bersopan santun
Gadis sekarang pandai melaram
Aku sekarang tak boleh berpantun
Sebab aku duk dalam Masjidil Haram

Tu... pantun juga la Iwe.. - Leeza 12.10am
La... sorry la.. - Iwe 12.11am

29 Oktober - Selasa

1.46am - Utih Yasin

Bila rindu terbayang bayang
Menghirup sirap terasa kopi
Di lena bertamu menjadi sayang
Mengharap bahagia seindah mimpi

1.55am - Fatonah

Batang selasih dimakan kuda
Kuda ditari dara teruna
Bebanan rindu menyesak dada
Mata terpejam tapi tak lena

30 Oktober - Rabu

12.01am - Jamal Saudi

Berdayung-dayung ke Pulau Jawa
Membawa hasrat putera mahkota
Jelingan manja memanah jiwa
Apakah itu tandanya cinta?

Jawab yer, Tona - Jamal Saudi 12.02

12.05am - Saido San

Membawa hasrat putera mahkota
Berdayung sampan ke Pulau Jawa
Itu bukan namanya cinta
Tapi perasan cantik dan lawa

12.10am - Saido San

Berdayung sampan ke Pulau Jawa
Membawa hasrat putera mahkota
Jamal dah mula memberi nyawa
Tona diam lepas meminta

12.13 - Rauah

Sorong papan tarik papan
Buah keranji makanan si bogak
Korang dah sibuk bersampan-sampan
Mataku ini tak boleh nak tidur gak

Si Bogak tu sapa, Rauah? - Saido San 12.14am
Ala... kawan nya si Bongek - Rauah 12.15am

12.32am - Utih Yasin

Duduk berangan ke Pulau Tawar
Tali sampan kusut berpintal
Panah jelingan jadi penawar
Baik ku simpan di bawah bantal

7.24am - Utih Yasin

Goreng cempedak di atas meja
Gendang gendut tali kecapi
Hajat hendak pergi bekerja
Tapi tersangkut di kedai kopi

7.28am - Fatonah                             

Gendang gendut tali kecapi
Gendang-gendang sambil menari
Alas perut la di kedai kopi
Biar segar sepanjang hari

11.06pm - Utih Yasin

Luar tingkap ada pelita
Berjalan malam membawa obor
Getah terap lekat kat mata
Macam pejam tapi tak tidur

11.15pm - Leeza                  

Budak-budak memasang pelita
Pasang pelita dilaman Midah
Hendak lelap lelap lah mata
Tidur tersenyum mimpi yang indah

31 Oktober - Khamis

9.11pm - Utih Yasin

Bukan duduk sebarang duduk
Duduk dicelah pokok belimbing
Bukan cekodok sebarang cekodok
Cekodok cicah kari kambing

Iya ker Jaybob... cekodok cicak kari kambing? - Waz 9.20pm
Kari ayam Waz.. yang Utih cakap tu kat tempat lain - Jaybob 9.20pm  

11.59pm - Jamaluddin Khalid             

Siram selasih dihujung halaman
Mengenang kekasih dalam percintaan
Dalam sibuk bekerja, teringat teman-teman
Berkongsi info, ilmu dan gurauan sehari-harian


Selasihku Sayang
 - Dato Ahmad Jais / Datin Rafeah Buang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan