Isnin, September 9

Pertemuan dua hati tidak pernah direstui

Oleh : Farid Din Khalid

Sebuah kisah kehidupan akan kucoretkan di ruang yang terbatas ini.  Kisah yang pernah menyentuh perasaan.  Kisah yang pernah mengusik hati, mengganggu sanubari, menyentak jiwa.  Biarpun kini tinggal memori, tapi ia tetap menjadi satu pengalaman yang sukar dilupakan.  Kurestui ia menjadi pahit manis hidupku.
 
Tersiar di Berita Minggu pada 7 Februari 1988
 
Aku tahu Puan Salmi tidak senang aku berkawan dengan dengan anaknya, Mira.  Daripada gerak geri, daripada percakapan, daripada pandangan dan jelingan matanya, aku dapat melihat fenomena ini.
 
Buktinya, terus terang Puan Salmi bertanyakan pada Mira apakah topik perbualan kami, setiap kali kami berbual?  Mira yang menyedari kecurigaan ibunya sudah sanggup berbohong dengan memberikan alasan palsu.  Soalnya, mengapa tidak berterus terang saja? Dan mengapa pula Puan Salmi selalu bertanyakan tentang hal aku dan Mira. Hal kami.


Aku tahu Puan Salmi takut Mira berkawan rapat denganku; bekas pelajar lulusan tingkatan tiga saja.  Takut kalau terjadi sesuatu yang tidak baik antara kami.  Takut kalau perhubungan kami lebih rapat.  Lebih akrab.  Ini amat merisaukan hatinya.  Betul, seorang ibu patut takutkan hal-hal seperti ini demi kebaikan dan keselamatan anak gadisnya.  Memang betul.  Aku sendiri pun menyokong.


Sebenarnya Puan Salmi lebih suka anaknya berkawan dengan seorang pelajar Institut Teknologi Mara, di Kuantan; bukan dengan aku.  Aku tahu.  Aku tahu itu.  Puan Salmi takut kalau Mira berkawan rapat denganku, akan merenggangkan hubungan Mira dengan Yusri, jejaka tampan itu.  Pemuda yang lebih disenangi untuk berkawan dengan Mira.
 
Aku tahu,  Aku tahu itu,  Mira juga tahu itu.  Kalau tidak tahu, mengapa jika hendak keluar dengan Yusri, dia boleh minta kebenaran terus terang daripada Puan Salmi.
 
"Mak, Mira keluar dengan Yus hari ini, ya..."
 
"Pergilah.  Balik nanti kau singgah ke rumahnya, Mira?", tanya Puan Salmi.  Mesra.
 
Tapi kalau hendak keluar dengan aku, Mira gelisah.  Gelisah mencari alasan.  Alasan apakah yang akan diberi agar dapat keluar denganku?
 
Dari sinilah aku dapat tahu rahsianya.  Mira sendiri pernah mengakui ibunya lebih senang dia bergaul dengan Yusri daripada berkawan denganku.  Kini semuanya jelas.  Jelas sekali.  Bagai mentari menyinari padang pasir menampakkan jarum yang hilang.
 
Aku amat menyedari hakikat kenyataan ini.  Aku berfikir.  Ya, aku berfikir apakah tindakan yang perlu kulakukan untuk menyelesaikan masalah ini?    Ya, tindakan paling wajar yang patut aku lakukan ialah mengundurkan diri.  Mengundurkan diri supaya Puan Salmi gembira. Senang.  Puas.  Apakah yang lebih baik daripada ini?
 
Kebetulan Mira pula sejak kebelakangan ini jarang sangat bertegur sapa denganku.  Katanya, dia tidak mahu lagi berkawan denganku. Seperti pucuk dicita ulam mendatang pula.  Dalam kegelisahan Puan Salim melihat keakraban kami, tiba-tiba Mira hendak memutuskan hubungan dengan aku.  Ini amat baik.  Ini akan menyenangkan hati Puan Salmi.

Masih kuingat pada suatu petang di bulan Januari, kami berselisih faham.  Akibatnya, Mira  merajuk.  Mira tidak mahu bertegur sapa denganku.  Kemudian Mira kutuk aku. Mira caci aku.  Biarlah.  Biarlah dia dengan sikap dan keputusannya itu.  Kalau Mira fikir dia bahagia dengan tindakannya itu, teruskanlah.

Aku tidak marah, walaupun hatiku terguris luka dengan sikap dan keputusan yang kebudak-budakkannya itu.  Biarlah Mira gembira dengan hidupnya sekarang. Dan biarlah aku dengan hidupku sendiri.  Yang jelas dan pasti, kami tidak lagi bertegur sapa.

Selain itu, dalam diam-diam rupanya Mira pernah tertarik pada aku.  Aku dapat tahu akan perkara ini dari Jun, kawan baik Mira.  Betulkah ini?  Detik hati kecilku.  Kalau betul, terima kasih kerana pernah tertarik padaku.  Lucu betul, kerana aku tidak pernah menyedari akan hal ini.

Tapi entahlah.  Yang jelas, kini Mira sudah ada pengganti - Yusri, pemuda yang disenanginya.  Jejaka yang menarik perhatian ibunya.  Mira pasti gembira.  Puan Salmi pasti lebih gembira lagi.  Gembira melihat perkembangan ini.  Gembira melihat perpisahan kami.  Aku juga turut gembira.  Gembira melihat kegembiraan orang lain.  Gembira kerana berjaya keluar dari masalah ini.

Kini, demi menjaga nama baikku.  Demi menjaga nama baik keluargaku yang banyak membantu aku menjalani hidup  ini.  Demi menjaga maruah kami, adalah sangat wajar aku dan Mira memutuskan perhubungan persahabatan kami yang sekian lama terjalin.  Harap semuanya mengerti bahawa perpisahan ini sudah suratan.


Cerpen ini tersiar di Berita Minggu pada hari Ahad 7 Februari 1988 dengan menggunakan nama pena, Farid Din Khalid.  Tarikh ini secara kebetulan sama dengan tarikh ulangtahun kelahiran penulis. 
Sendiri Lagi - Dahlan Zainuddin
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan