Sabtu, Januari 18

Char Kuey Teow di JefYatie's Corner: Memang Sedap!

Sebenarnya sejak tahun lepas lagi, Hayati Sohod (Yatie), kawan sesama sekolah semasa di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban (STTJ) hampir 30 tahun lalu, telah beberapa kali mengajak ke gerainya (dihadapan rumah beliau) , di Bandar Seremban Selatan, di Senawang. Suaminya, Jefri Mohd Din (Mike) pula merupakan rakan sekelas penulis ketika kami berada di sekolah yang sama.
 
Menu istimewa JeffYatie's Corner: Char Kuey Teow
Hasrat untuk merasai sendiri masakan Yatie, memang telah tumbuh sejak pelawaan pertamanya itu, lebih-lebih lagi apabila kawan-kawan yang lain, yang pernah singgah dan mencuba Char Kuey Teow, hidangan istimewanya, memuji tentang keenakan masakannya. Pun begitu, penulis tidak pernah sempat untuk ke sana, memandangkan gerainya hanya di buka dari jam 5.00 petang hingga jam 10.30 malam dan pada hari bekerja sahaja. Alhamdulillah, akhirnya, hasrat itu tertunai juga semalam.
 
Memulakan perjalanan pada jam 8.00 malam dari Ulu Kelang, Selangor, kami sekeluarga hanya sampai ke kediaman beliau pada jam 9.30 malam kerana sesat.  Walaupun pada mulanya, ingin membuat kejutan dengan tidak memaklumkan terlebih dulu kepada Yatie dan Mike, akhirnya terpaksa menghubungi Yatie untuk minta tunjukkan arah jalan ke rumahnya.
 
Dengan wajah ceria menyambut kedatangan kami, Yatie sempat berkata sambil ketawa , "Nak terkejutkan aku, tapi kau yang terkejut, kan?" (kerana kami tak jumpa rumah beliau).

Rabu, Januari 8

Lawatan Mengejut Ke Ladang MJ Fatonah Sdn Bhd

Pagi ini, penulis bersama teman baik, Jamal Saudi, telah berkesempatan membuat lawatan ke ladang penternakan ruminan dan unggas di Kuala Selangor.  Lawatan mengejut ke MJ Fatonah Sdn Bhd, ladang milik Jamil dan Fatonah (Tona) ini, dibuat apabila mengetahui tentang minat Jamal Saudi, yang banyak bertanyakan soalan tentang penternakan yang diusahakan oleh sahabat kami ini, dalam whatsapp group.  Dalam 'perbualan' itu, beliau juga telah menyemai hasrat untuk melawat ladang tersebut. 
 
Pertemuan 3J - Jamal Saudi, Jamal (penulis) dan Jamil
Menyedari bahawa beliau akan kembali ke Jeddah, dalam masa tiga hari lagi dan tiada kepastian bila agaknya berkesempatan untuk ke ladang tersebut, penulis telah mempelawa Jamal Saudi untuk membuat lawatan tersebut.

Ahad, Januari 5

Pertemuan Pertama ex-STTJ 2014

Alhamdulillah, hasrat Jamaluddin Ismail yang kami gelar Jamal Saudi, sahabat yang bekerja di Arab Saudi; untuk adakan sessi 'Ngeteh' bersama kawan-kawan ex-STTJ, terlaksana pada 3 Januari 2014, di Restoran Hayaki, Danau Kota, Kuala Lumpur.
 
Jamal Saudi yang baru saja tiba dari Jeddah hanya beberapa jam sebelum itu, dalam keadaan letih dan terpaksa berjalan berdengkot-dengkot akibat penyakit gout, masih sempat untuk mengadakan perjumpaan tersebut yang mendapat sambutan menggalakkan dari rakan-rakan.


Jamal Saudi, dalam menahan sakit,
masih tersenyum melayani rakan-rakan
Terima kasih kepada semua yang hadir, dari jauh dan dekat.  Selain kehadiran Jamal Saudi dan Dania, isterinya, sebagai host, majlis turut dihadiri oleh Jaybob dan Jana dari Seremban, Mike, Yatie dan anaknya, Izzani Alisa dari Senawang (yang tersesat hingga ke Gombak), Maszeri dan Elyn dari Bukit Jelutong (Maszeri berkejar dari Kuantan untuk bersama  ke majlis ini), Rauah dan gundunya, Khairul Anam dari Rawang, Tona dari Kuala Selangor, Ringgo dari Shah Alam, Harun yang datang single (biasanya berdua) dari Subang, Izwas pun datang seorang je (biasanya berdua juga) dari Putra Height, Waznah dari Selayang, selain Zain dan penulis, yang tinggal berhampiran dari lokasi perjumpaan.
 

Rabu, Januari 1

Pantun Disember

Jumlah Pantun ( 38 )

3 Disember - Selasa

3.07am - Utih Yasin

Tumbuh melata si pohon anggur
Buah lada rasanya pedas
Mengapa mata tak mahu tidur
Esok kan ada nak sambung tugas

3.42am -  Fatonah

Tumbuh melata si pohon anggur
Panjat pokok jatuh tertiarap
Memang mata belum boleh tidur
Kerana masih banyak tugas belum siap

4 Disember - Rabu

4.20pm - Jamaluddin Khalid

Pantun untuk seorang kawan:

Duhai kawan ku yang senada
Mengapa kini kau jauh dimata
Walau dimana dikau berada
Janganlah lupa khabar berita

4.22pm - Saido San

Hujan ribut sukar diramal
Sediakan sampan atau perahu
Pantun Jamal untuk si Jamal
Tentu tak tahan menanggung rindu