Rabu, Januari 8

Lawatan Mengejut Ke Ladang MJ Fatonah Sdn Bhd

Pagi ini, penulis bersama teman baik, Jamal Saudi, telah berkesempatan membuat lawatan ke ladang penternakan ruminan dan unggas di Kuala Selangor.  Lawatan mengejut ke MJ Fatonah Sdn Bhd, ladang milik Jamil dan Fatonah (Tona) ini, dibuat apabila mengetahui tentang minat Jamal Saudi, yang banyak bertanyakan soalan tentang penternakan yang diusahakan oleh sahabat kami ini, dalam whatsapp group.  Dalam 'perbualan' itu, beliau juga telah menyemai hasrat untuk melawat ladang tersebut. 
 
Pertemuan 3J - Jamal Saudi, Jamal (penulis) dan Jamil
Menyedari bahawa beliau akan kembali ke Jeddah, dalam masa tiga hari lagi dan tiada kepastian bila agaknya berkesempatan untuk ke ladang tersebut, penulis telah mempelawa Jamal Saudi untuk membuat lawatan tersebut.


Setelah mendapat persetujuan Jamal Saudi dan kebetulan Tona pula berkelapangan, kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 11.00 pagi dan sampai lebih kurang  satu jam selepas itu.
 
Lawatan kali ini agak eksklusif kerana tiada aktiviti di ladang dan kami dilayan seolah-olah VIP, dibawa dari satu kandang ke kandang yang lain  (selalunya di ladang ini ada saja program tertentu atau ketika reunion, Jamil dan Tona memang sibuk sekali melayan tetamu, sediakan jamuan dan sebagainya).
 
Tona telah memberikan penerangan bagaimana beliau mula minat tentang penternakan ini, cabaran-cabaran yang dihadapi, pahit maung yang ditempuhi sehinggalah mencapai kejayaan seperti sekarang ini.  Kami sempat juga membaca tentang mereka melalui keratan-keratan akhbar dan majalah yang di gantung di dinding bahagian depan pejabat mereka. Juga cerita tentang anugerah-anugerah yang mereka terima sebagai pengiktirafan penglibatan mereka dalam bidang penternakan ini.
Jamal Saudi dan Tona di 'Rumah Lembu'
 
Tona sendiri membawa kami ke 'Rumah Lembu', menerangkan tentang jenis-jenis baka yang diternak, cara penjagaan, bagaimana pengendalian makanan, proses pembuangan najis yang dijadikan baja, pengasingan anak-anak lembu yang baru lahir, kaedah penyembelihan, kerenah pelanggan dan sebagainya.
 
Begitu juga penerangan beliau ketika kami di bawa ke 'Rumah Kambing'.  Dengan jumlah  melebihi 200 ekor kambing , hampir kesemuanya mempunyai nama tersendiri dan beliau boleh mengingatinya!  Mungkin pelik bagi sesetengah orang, tetapi sebagai pengusaha yang berpengalaman, ia hanyalah perkara biasa, bak kata pepatah, "alah bisa tegal biasa".
 
Jamil dan Jamal - bersama sang arnab
Setelah berehat seketika dan menunaikan solat zohor, lawatan diteruskan dengan Jamil pula memberi penerangan tentang penternakan itik, angsa, ayam kampung, ayam telur, ayam belanda, ayam mutiara dan beberapa jenis ayam lagi, puyuh, merak, arnab dan lain-lain.  Agak istimewa apabila Jamil boleh berkomunikasi dengan ternakannya dan bagai boleh difahami pula oleh ternakan tersebut. 
Jamil 'minta' angsanya ke tepi sebelum gambar ini diambil
 
Ketika membuka pintu kandang angsa, angsa-angsa tersebut mengerumuni beliau hingga menakutkan kami untuk masuk ke kandang, tetapi, Jamil dengan selamba 'bercakap' dengan angsa-angsa tersebut, 'ke tepi sayang, belum waktu makan lagi...'  Setelah mengulangi beberapa kali, angsa-angsa  berlalu pergi seolah-olah memahaminya.  Peristiwa ini juga berlaku semasa kami ke kandang ayam dan itik.
Ketika menjamu selera bersama pasangan
Usahawan  Contoh Negeri Selangor
 
Buah tangan berupa pokok kunyit dan baja
Setelah itu, kami telah dibawa ke sebuah restoran untuk jamuan makan tengahari bersama Jamil sekeluarga.  Sebelum pulang, sempat pula mereka memberikan buah tangan berupa pokok kunyit dan baja.  Terima kasih buat Jamil, Tona dan anak-anaknya yang sudi menyambut dan melayani kedatangan kami ini, lebih-lebih lagi tanpa perancangan yang awal. 
Tumpang gembira dengan kejayaan kawan-kawan
 
Semoga perusahaan penternakan yang sedang meningkat maju yang dijalankan oleh Jamil sekeluarga ini diberikan kejayaan-kejayaan yang seterusnya.
 
 
 Ayam- Jalil Hamid
 

2 ulasan:

  1. Good 1 BUT next time pls put date n day.... hihihi.... tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas komen yang bernas. Telah dikemaskinikan. Tk.

      Padam