Khamis, September 1

Danish - Guru Pertama Saya Di Laut

Asalnya hanya ingin menemani kawan-kawan bercuti ke Pulau Tioman. Mereka memang merancang untuk diving di percutian ini. Penulis pula hanya ingin berjalan menyusuri pantai sambil menulis.

Apabila Maszeri (Masz) dan Elyn Shalina (Elyn) mengajak untuk turut serta menaiki bot ke tengah laut untuk menyelam dan meminta Izzdanish Mohd Izwas (Danish) berusia 11 tahun menemani penulis sambil snorkeling, terasa serba salah di hati ini dan pada waktu yang sama, berasa teruja pula.

Guru muda yang sabar
 (sebab dapat murid tua.. hihihi..)
Danish adalah anak bongsu Mohd Izwas dan Sarinah Abas; kawan yang datang bersama di percutian ini. Mereka berdua juga adalah pengajar (instructors) bertauliah bagi aktiviti menyelam ini.

Danish mengajak penulis untuk menyewa peralatan untuk snorkeling. Danish yang telah biasa dengan aktiviti snorkeling sejak berusia 5 tahun, tidak kekok di kawasan Salang ini, mengenali dan dikenali ramai di sini.

"Bang... bagi uncle ni finslife jacket dan mask", katanya, meminta pembantu kedai menyewakan peralatan tersebut kepada penulis.

"Danish... uncle tak bawa duit ni.. nak bayar sewa. Nanti uncle ke bilik ambil duit dulu".

"Takpe uncle... tak perlu bayar sekarang. Nanti kira dengan abah jer...", katanya sambil mengambil peralatan untuk dirinya juga.

"Wow... popularnya budak ni. Senang jer dia berurusan di sini", detik hati penulis.

Kami menaiki bot ke tengah laut di Soyak Dive Site. Setelah Mash dan Elyn memulakan penyelamannya, Danish terjun ke laut dan meminta penulis berbuat demikian. Dengan peralatan yang telah siap di pakai semasa di atas bot, penulis turun perlahan-lahan dari bot lalu memasuki laut. Inilah pengalaman pertama di tengah laut.

Penulis yang sememangnya tidak tahu berenang, agak kekok dan berhati-hati ketika di dalam laut. Dengan tunjuk ajar dan bimbingan Danish, penulis mula dapat mengimbangkan badan, bernafas melalui mulut dan mula snokeling.

Danish kemudiannya meminta penulis memandang ke dasar laut dan menikmati pemandangan yang cukup indah dan amat menarik. Kelihatan beberapa ikan berwarna warni dan pelbagai rupa dan saiz. Terpesona dengan pelbagai hidupan laut yang amat cantik.

Syukur alhamdulillah. Pemandangan dalam laut yang selama ini hanya ditonton di kaca tv, kini ada di depan mata. Ia menjadi satu pengalaman yang cukup istimewa.

Hampir 35 minit di laut, dengan menunjuk ajar beberapa langkah keselamatan, cara bernafas yang betul, mengimbangi badan, cara berenang dan menikmati keindahan alam semulajadi lautan, Danish meminta agar penulis berenang ke bot semula.
Coach yang sentiasa ceria!
Terima kasih, Danish. Terima kasih kerana menjadi coach pertama uncle Jamal sebagai seorang penyelam; dan membuat uncle jatuh hati dengan aktiviti baru ini.