Khamis, Julai 16

Mereka Yang Teristimewa

Kehilangan mereka
bukan saja menyayat hati anak-anak
yang menjadi yatim piatu secara tiba-tiba
tetapi amat menghiris hati kami
yang turut merasai kepedihan itu...

Mereka berdua begitu romantis
gurauan mereka menghiburkan hati
ada nasihat yang disampaikan
ada teguran yang dilantunkan
di dalam gurauan itu
begitu mesra hingga tiada hati yang terasa

Ketika di majils keramaian
kehadiran mereka sering dinanti
Kelibat mereka di cari-cari
santun mereka menyenangkan semua
bagai kurang berseri tanpa mereka di sisi

Tentu sentiasa rindu
setiap kali terkenangkan mereka
bukan hanya anak-anak kehilangan mereka
semua yang mengenalinya
turut sama merasai kehilangan itu

Bersabarlah
mereka tetap milik kita semua juga
doakanlah kesejahteraan mereka
bagai mendoakan kebahagiaan kita
semoga mereka damai disana
sementara kita di sini menanti detik yang sama..


Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Yusoff Ismail & 
Allahyarhammah Mimi Zaleha Abdul Aziz


Taman Permata
29 Ramadhan 1436
6.15pm
posted from Bloggeroid

Selasa, Julai 14

Akhirnya Kau Pergi Jua

Semalam...
seorang lagi sahabat lama
dijemput pulang ke pangkuan Ilahi

Sebak...
bila mendapat perkhabaran itu
lantas terkenang detik-detik akhir bersamanya
tika sahabat berperang dengan penyakitnya
berulang alik ke hospital
bagai berulang alik pulang ke rumah
deritanya hanya dia yang tahu
kita yang melihat terseksa jua

Terkenang...
bila sesekali menziarahnya
di hospital dan di rumah
wajahnya ceria menahan derita
masih tersenyum dengan jenaka
masih mengenali diri ini
walau hampir 27 tahun tidak bersua
menggenggam erat tangan ini
bagai tidak mahu melepaskan pergi

Syahdu...
bila dapat mengulang-ulang ziarahnya
terawat luka hiba
setelah terkilan dengan pemergian rakan terdahulu
yang tidak pernah sempat di jenguk
hingga akhir hayatnya

Sahabat...
pergilah dengan damai
ketika Ramadhan masih tersisa
bulan seribu rahmat menjemputmu
moga jannah tempatmu

Tinggal kenangan

Al-Fatihah buat Allahyarham Abu Bakar Zainal (K3)
yang meninggal dunia pada 13 Julai 2015