Khamis, Ogos 14

Memetik Mata Kucing di Alor Gajah

Sepohon nan merimbun

Apabila melihat foto pokok mata kucing, hati telah teruja.  Sebelum ini memang tak pernah tengok pokok mata kucing.  Dan apabila diajak memetik buah mata kucing, tentulah lebih gembira; ia jadi pengalaman baru pula.
 
Pokok Mata Kucing merupakan sejenis pokok yang berasal dari Malaysia dan Indonesia. Nama saintifiknya adalah (Euphoria malaiense). Pokok ini dikenali sedemikian kerana rupa dan saiz buahnya yang seperti mata kucing. Buah mata kucing kecil sedikit dari buah longan.

Segar dari pohon

Setiap pokok mata kucing mampu mengeluarkan 2,000 biji hingga 2,500 biji buah setiap kali musim berbuah. Buah mata kucing mempunyai kandungan antioksidan ini juga sesuai bagi wanita hamil dan bijinya dikatakan boleh digunakan untuk mengubati gigitan ular.

3 sekawan bff Bukit Jelutong
 
Perjalanan dari Bukit Jelutong bersama Elyn, Suriah dan Anita, pada jam 9.30 pagi, mengambil masa hampir satu jam tiga puluh minit untuk sampai ke rumah kelahiran Elyn di Kampung Padang Sebang, Alor Gajah, Melaka.  Kata Elyn, biasanya boleh sampai dalam sejam sepuluh minit saja.  Mungkin kerana jalan yang sedang dibaiki di beberapa tempat di sepanjang lebuhraya menyebabkan  kelewatan ini. Dan kami menempuh perjalanan jauh ini hanya semata-mata untuk memetik buah mata kucing!
 
Jaybob ingatkan nyonya mana tadi...
  
Sebaik sampai, kami terus memetik buah kerana cuaca agak mendung dan ada tanda-tanda hujan akan turun pada bila-bila masa.  Pokoknya hanya sebatang tetapi buahnya cukup lebat.  Sempat bergambar  dan berkelah sambil makan buah di bawah pokok yang rimbun itu.
 
Memulas hingga tangan terpulas
 
Pengalaman memetik sendiri buah mata kucing, mengupas kulitnya dan makan isinya dibawah pokok mata kucing yang rendang itu, menjadi kenangan tersendiri. Mungkin perkara biasa pada kebanyakkan orang lain, tetapi ia merupakan pengalaman baru pada penulis.

Bersama YB Hafiz
 
Kehadiran YB Hafiz (gelaran YB itu adalah panggilan kami kepada beliau), tentu saja menambah ceria.  Kami sama-sama di STTJ dulu. Dalam kesibukan beliau, sempat juga meluang masa untuk bersama-sama.  
 
Kali terakhir jumpa YB Hafiz, ialah pada tahun lepas ketika jamuan 'farewell' Jaybob yang akan bertugas di Iraq. Kami sempat bercerita mengenang kembali peristiwa itu, dimana kebanyakan kami sangkakan Jaybob akan ke Iraq selama dua tahun, rupanya hanya dua bulan! Hahaha.. 

Menjamu selera
 
Setelah berkelah dan memetik buah, kami telah ke Pasar Menggong Alor Gajah untuk menikmati cucur udang yang dikatakan amat popular dan menjadi tarikan ramai. Rupanya ketika disajikan, selain cucur udang, ada pilihan untuk tambah kentang, tauhu, kek ikan, tempe dan ayam goreng juga!  Makan cucur udang dalam keadaan hujan lebat diluar, telah menambah selera...
 
Kami tidak lama di Alor Gajah kerana perlu bergegas untuk pulang, sesuai dengan rancangan awal untuk sampai semula ke Bukit Jelutong sebelum jam 3.00 petang.


 
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan