Isnin, Ogos 11

Bekwoh Adik Sue Dan Open House Tona

Tajuk bicara kali ini diambil dari status facebook Iwe, sesuai dengan gambar yang dikongsikan oleh beliau.
 
Bila rujuk kamus, barulah tahu rupanya bekwoh ini berasal dari perkataan orang pantai timur yang bermaksud kenduri kahwin. Patutlah tak pernah dengar, sebab di UK, kami sebut 'wedding receptions' hihihi...
 
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Mini Stadium Bistari, Ayer Keroh, Melaka; bagi memenuhi jemputan Sulaiza Sulaiman, memakan masa lebih dua setengah jam memandangkan jalan yang agak sesak.  Mungkin ramai yang menganjurkan rumah terbuka dan kenduri kendara, menyumbang ke arah kesesakan ini.
 
Kemeriahan warga ex-STTJ berkumpul sama meriahnya dengan Majlis Perkahwinan Suziana Sulaiman dan Mohd Ridzuan Abidin. Kebetulan pula pengantin perempuan, iaitu, adik Sue, merupakan ex-STTJ, junior kami juga.  Tapi pengantin itu tentulah jauh lebih muda dari kami hihihi... 
 
 Meja berpaku, kaki terpaku


Seperti biasa, ketika menghadiri majlis kenduri seperti ini, bertemu pula dengan rakan-rakan lama (memang dirancang pertemuan ini, bukan kebetulan); ia menjadi seperti mini reUnion pula.  Bergelak ketawa, bercerita, mengusik yang bujang dan yang masih 'available'. Ia seolah jadi sessi terapi yang menyegarkan setelah letih dalam perjalanan dan rehat minda yang baik juga.  Dapat pula menghilangkan stress dalam menjalani kehidupan seharian.
 
Bergambar kenangan

Antara yang hadir ialah Iwe sekeluarga, Saido, Waz, Syl, Zain, Ashie dan anak-anak, Fid dan anak-anak, Rauah sekeluarga, Noni sekeluarga, Yatie dan anak-anak, Leeza, Gie dan anak-anak dan penulis.
 
Bergambar bersama pengantin di Melaka:
Siapa pula yang bakal menjadi pengantin selepas ini?
 
Terima kasih buat Sue sekeluarga, melayani kami yang pelbagai kerenah ini dengan begitu mesra, dalam kesibukan melayan tetamu yang lain.  Tentu ia menjadi kenangan yang istimewa buat Sue dan kami yang menghadirinya juga.
 
Setelah itu, penulis dan beberapa rakan lain, meneruskan perjalanan ke Kampung Melayu Subang, bagi memenuhi jemputan M. Jamil dan Fatonah, rakan ex-STTJ yang kini menjadi usahawan ternakan yang berjaya di Selangor.
 
Pada mulanya, tidak semua bercadang untuk turut serta kerana ingin memenuhi jemputan lain di Seremban, Kuala Lumpur dan tempat-tempat lain, tetapi, akhirnya hampir kesemuanya berkumpul semula di Majlis Rumah Terbuka ini.  Tak sempat bertanya Tona, ilmu apa yang digunakan untuk menarik rakan-rakan ini. Mungkin aroma kambing panggang terbau hingga ke Melaka membuat hati kawan-kawan meronta-ronta.
 
Saido yang pada awalnya ingin pulang ke Jelebu, mengambil keputusan untuk turut serta.  Syl memandu seorang diri dari Melaka, Fid memandu ditemani anak-anak.  Semua ini mencerminkan kesungguhan meraikan jemputan. Begitu juga dengan yang lain-lain. Penulis kagum.

Yem menyambung entah pinggan yang ke berapa...

Penulis sendiri, walaupun pernah dijemput beberapa kali untuk menghadiri majlis ini di tahun-tahun yang lepas, tapi inilah kali pertama dapat memenuhinya.  Terima kasih kepada Tona yang tidak jemu menjemput.  Ternyata kemeriahan majlis ini, bagai bekwoh menyambut menantu juga.  Cuma kali ini, tiada pengantin yang diraikan. Mungkin tak lama lagi lah tu... Anak-anak Jamil dan Tona pun semakin dewasa dan mungkin sedang diintai-intai si dara jelita :)
 
Dipertemuan ini, rakan-rakan kian bertambah dengan kehadiran Mash, Elyn dan keluarga yang bergegas dari Ipoh, Yem dan keluarga, Elmi dan suami, Ismaliyah sekeluarga dan beberapa rakan yang lain.  Aya dan Mike yang tidak dapat bersama pada majlis ini, rupanya telah tiba lebih awal iaitu sehari sebelumnya untuk sama-sama membantu persiapan majlis ini.  Ternyata keakraban Tona dan Aya bagaikan ada ikatan kekeluargaan. Penulis terharu.
 
Bergambar bersama MJ dan Tona di Subang:
Airmata Tona menceritakan kegembiraannya
 
Andai sabtu lepas, ditakdirkan siang berpanjangan tanpa kehadiran malam, agaknya semua masih disitu.  Keakraban kita semua tentu dicemburui oleh orang lain.  Kemesraan yang terjalin di antara kita tentu menjadi impian pada orang lain. Jamal Saudi di Jeddah, yang jauh dimata, pasti setuju dengan kenyataan ini. :)
 
Sebelum pulang, sempat berbisik satu teka-teki kepada MJ dan Tona:
 
Dimanakah kita dapat makan kambing golek yang lazat dan kari kambing yang istimewa, dengan seberapa banyak yang kita suka, tanpa kita hirau, berapakah yang kita perlu bayar selepas menikmatinya?
 
Tona tersenyum puas dan MJ sempat berbisik..."nanti kami buat lagi ya..."



UK = Ulu Klang je.... :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan