Isnin, Februari 10

Pesta Durian di rumah Jaybob

Kesempatan untuk bersama kawan-kawan di Taman Tuanku Jaafar, Seremban, semalam, memang tidak disangka.  

Pertamanya, jemputan untuk pertemuan petang ahad itu, hanya diwar-warkan di whatsapp group sehari sebelumnya. Agak suntuk. Kedua, perlu hadiri majlis Anugerah Pelajar Tahfiz anjuran Kelab Tahfiz Sekolah Rendah Islam Al-Amin yang melibatkan anak, yang dijadualkan hingga ke jam 2.00 petang. Alhamdulillah, program sekolah habis awal  lalu buat keputusan untuk ke Seremban.

Sebaik sampai ke rumah Jaybob, beliau kelihatan agak terkejut tetapi gembira. Terkejut kerana kehadiran ini tidak dimaklumkan kepadanya terlebih dahulu dan gembira, mungkin kerana 2 kali pelawaan ke rumahnya sebelum ini tidak dapat dipenuhi.


Kemunculan semula Zaihan:  Selepas 28 tahun
masih nampak seperti jejaka berusia 18 tahun


Kemudian disusuli oleh dengan kehadiran Waznah si gadis Jelebu, penampilan sulung Zaihan & isteri, Maszeri sekeluarga, Tona sekeluarga, Mike sekeluarga, Leeza yang datang bersendirian dan penampilan sulung juga, Sylviati  Norbi sekeluarga. 

Pesta Durian
 
Pertemuan kali ini adalah atas inisiatif Waznah, yang berhasrat belanja kawan-kawan makan durian 'fresh dari ladang'. Terima kasih, Waz; moga terus dimurahkan rezeki.  Ucapan terima kasih juga buat Zaihan yang sudi membawa durian tersebut dari Jelebu dan tentunya kepada Jaybob sekeluarga yang sudi menjadi tuan rumah dan melayani kami dengan mesra sekali.

Waznah banyak membantu Jana didapur membawa makanan ke ruang  tamu untuk menjamu kawan-kawan menyebabkan penulis berbisik padanya.. "Waz, macam di rumah sendiri je..."  Yatie juga tidak terlepas dari usikan kerana suaranya yang kuat, "Yatie... suara macam di rumah sendiri je..."  Maaf ya, Waz dan Yatie, penulis ni adalah seorang pemalu yang suka mengusik hahaha...

Perjumpaan kali ini menjadi lebih bererti dengan kehadiran Zaihan dan kemunculan Syl, yang sama-sama membuat penampilan sulung dari siri perjumpaan teman-teman STTJ85/86. Zaihan mudah dikenali kerana raut wajah yang hampir tidak berubah sejak zaman persekolahan.  Syl pula, agak malu-malu kerana tidak mengenali ramai rakan-rakan lain, malah ada rakan-rakan yang hadir, juga ingat-ingat lupa tentang beliau.  Lebih-lebih lagi, beliau tidak bersama dalam WhatsApp group. 

Psstt.... Syl, sebenarnya ramai dikalangan rakan-rakan di rumah Jaybob semalam, saling mengenali hanya selepas join WhatsApp group.  Sebahagiannya, semasa di sekolah dulu, tak pernah bertegur sapa pun hihihi...
Sementara itu, Saido San, yang namanya kerap kali menjadi sebutan di perjumpaan semalam, walaupun tidak  dapat  hadir sama, sempat juga mendedikasikan pantun, malam tadi di WhatsApp group seperti berikut:

Duduk bersimpuh sopan gayanya
Senyum simpul manis orangnya
Cikgu Sylviaty itulah namanya
Banyak dah lupa.. faktor usia, katanya

Antara peristiwa menarik yang berlaku di rumah Jaybob, ialah apabila Syl berusaha untuk mengingati Leeza yang asyik menyebut, "sampai hati Syl tak ingat aku".

Begitu juga, apabila Yatie yang baru sampai dan memberi salam, tiba-tiba menjerit menyebut nama Tona sebaik sahaja beliau terpandang Jamil - walaupun belum nampak kelibat Tona lagi. Ini telah menjadikan suasana gamat buat seketika.  Sebenarnya, beliau tidak jangka bahawa sahabat baiknya itu akan turut hadir sama.

 
Sentuh tentang menu pula, selain meehoon goreng, kuih muih, buah-buahan dan pelbagai juadah lagi, penulis tertarik dengan bekalan yang dibawa oleh Elyn.  Biasanya, makan pulut dengan kuah durian tapi kali ini agak berbeza.  Pulut dihidang berasingan dengan santan, gula nisang (biasanya sebut gula Melaka) dan durian.  Apabila hendak makan, barulah digaulkan bersama.  Mungkin ini pengalaman pertama penulis sendiri sahaja, walhal orang lain dah biasa. Tak tahulah pulak hahaha...

Seperti biasa, agenda perjumpaan sebegini bukanlah kerana makan, walaupun dijemput ke Pesta Durian.  Pertemuan lebih banyak dipenuhi dengan saling bertanya khabar, bercerita tentang aktiviti semasa, mengimbau kenangan lama yang belum sempat di kongsi di perjumpaan sebelumnya, juga mengulangi cerita lama yang masih boleh ditertawakan bersama (kisah sedihpun jadi kelakar bila dikenangkan semula), kisah anak-anak dan sebagainya.
 
Akhirnya kenal juga (atau masih ingat-ingat lupa?)

Makan sambil bersembang
 
 Bergambar kenangan sebelum bersurai
tanpa Zaihan yang pulang lebih awal.

Alhamdulillah, perjumpaan-perjumpaan seperti ini, selain menguatkan ikatan persahabatan yang sedia terjalin, menambahkan lagi bilangan rakan-rakan lama, yang muncul semula.  Kalau pada bulan Januari yang lalu, pertemuan seperti ini telah diadakan di Kuala Lumpur, bulan Februari ini, kita jumpa semula di Seremban. 

InsyaAllah, di pertemuan yang sedang dirancang pada bulan Mac 2014 nanti, selain dapat berjumpa kawan-kawan sedia ada, diharap dapat juga bertemu dengan kawan-kawan lain yang selama ini tidak berkesempatan untuk bersama-sama kita.

 


1 ulasan:

  1. Nice One, Jamal... pulut + santan + durian + nisan mmg sedap. Even 1st time makan, rase nak lagi...
    Need proper plan for gathering ulangtahun WhatsApp group kita...

    BalasPadam