Rabu, Mac 5

Mesyuarat Agung Permulaan

PENUBUHAN KOPERASI BANDAR TUN RAZAK KUALA LUMPUR BERHAD

Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Permulaan (MAP), Koperasi Bandar Tun Razak Kuala Lumpur Berhad (Dalam Penubuhan),  yang telah diadakan pada 2 Mac, 2014 di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, telah berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.
 
Mesyuarat Agung Permulaan ini diadakan bagi memenuhi keperluan untuk mendaftarkan koperasi ini secara rasmi.  Pendaftaran kehadiran bakal ahli yang bermula mulai jam 2.00 petang, telah mendapat sambutan yang menggalakkan.  Mesyuarat ini telah dihadiri oleh seramai 54 orang bakal ahli.  Turut hadir ialah Encik Muhamad Amran Che Abdullah, dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
 
Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Shahril Ismail Omar. 

Muhammad Sayuti Othman
Pengerusi Penaja

Kemudian disusuli oleh ucapan aluan oleh Encik Muhammad Sayuti Othman, Pengerusi Penaja Koperasi Bandar Tun Razak Kuala Lumpur Berhad.  Dalam ucapannya, Encik Muhammad Sayuti, mengalu-alukan dan berterima kasih dengan kehadiran bakal ahli.  Beliau percaya dengan sambutan dan semangat yang ditunjukkan, akan membolehkan Koperasi ini bergerak aktif, lebih-lebih lagi dengan penglibatan dan kerjasama ahli-ahli.
 
Beliau telah menyorot kembali tentang idea asal, cadangan aktiviti dan keperluan membantu ahli-ahli Koperasi dalam menyediakan perkhidmatan dan produk, seterusnya menjana keuntungan kepada Koperasi dan mereka yang menyertainya.  Dengan idea, kepakaran dan pengalaman yang ada di kalangan ahli, beliau yakin, Koperasi yang akan didaftarkan ini, mampu mencapai matlamat penubuhannya.
 
Encik Muhamad Amran Che Abdullah
Wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia
 
Acara seterusnya adalah Taklimat Penubuhan Koperasi yang telah disampaikan oleh Encik Muhamad Amran Che Abdullah, iaitu, wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.  Dalam taklimat tersebut, Encik Amran mengalu-alukan usaha yang dibuat oleh Jawatankuasa Penaja, bagi menubuhkan Koperasi ini.  Beliau juga telah menerangkan secara terperinci tentang definasi, konsep, falsafah, ciri-ciri, prinsip dan faedah berkoperasi.
 
Beliau menyarankan agar Ahli Lembaga Pengarah (ALP) yang dipilih, memainkan peranan untuk memastikan Koperasi bergerak mengikut lunas undang-undang, mengadakan aktiviti-aktiviti yang sesuai mengikut matlamat penubuhan, jujur, tekun dan amanah dalam menjalankan tugas.  Beliau meminta agar ALP merujuk kepada SKM sekiranya memerlukan bantuan dan perincian dalam menjalankan aktiviti Koperasi ini kelak.
 
Selepas taklimat oleh SKM, mesyuarat telah bersetuju untuk melantik penulis untuk mempengerusikan Mesyuarat Agung Permulaan, Koperasi Bandar Tun Razak Kuala Lumpur Berhad ini.
 
Penulis mempengerusikan MAP
 
Semasa MAP dijalankan, ramai bakal ahli turut mengambil bahagian untuk sama-sama memberi cadangan, pendapat dan pandangan apabila satu-satu agenda dikemukakan.  Semangat seperti ini menunjukkan bahawa mereka bukan sekadar hadir untuk memberi sokongan bagi penubuhan Koperasi ini, tetapi, ingin sama-sama turut serta memainkan peranan dan tanggungjawab berkoperasi.

Pengerusi mesyuarat telah menerangkan tentang aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh Koperasi yang melibatkan bidang pemasaran, pendidikan, ICT dan mikro kredit.  Dengan sokongan dan penglibatan ahli terhadap aktiviti-aktiviti ini nanti, beliau percaya, ahli-ahli Koperasi ini bukan saja akan mendapat manafaat dari segi dividen tahunan, tetapi juga, bakal mengwujudkan lebih ramai usahawan-usahawan yang berjaya.

Suasana ketika MAP
 
Suasana ketika MAP
 
Suasana ketika MAP

Suasana ketika MAP
 
Mesyuarat ini berakhir pada jam 5.00 petang dan para hadirin telah menikmati jamuan ringan yang disediakan.  Semasa sessi ini, ramai bakal ahli yang bertanya untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Koperasi ini.
 
Selepas jamuan ringan ini berakhir, ALP yang baru dipilih, telah mengadakan mesyuarat ringkas untuk melantik Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari, bagi memudahkan urusan yang selanjutnya. 

 'Door Gift' kepada yang hadir
 
Suasana ketika jamuan ringan
 
Sebahagian yang terpilih sebagai ALP

Booth jualan juga dibuka
 
Semoga permulaan yang baik ini terus diberkati dan dipermudahkan segala urusan selepas ini.  Amin.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan