Sabtu, Januari 18

Char Kuey Teow di JefYatie's Corner: Memang Sedap!

Sebenarnya sejak tahun lepas lagi, Hayati Sohod (Yatie), kawan sesama sekolah semasa di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban (STTJ) hampir 30 tahun lalu, telah beberapa kali mengajak ke gerainya (dihadapan rumah beliau) , di Bandar Seremban Selatan, di Senawang. Suaminya, Jefri Mohd Din (Mike) pula merupakan rakan sekelas penulis ketika kami berada di sekolah yang sama.
 
Menu istimewa JeffYatie's Corner: Char Kuey Teow
Hasrat untuk merasai sendiri masakan Yatie, memang telah tumbuh sejak pelawaan pertamanya itu, lebih-lebih lagi apabila kawan-kawan yang lain, yang pernah singgah dan mencuba Char Kuey Teow, hidangan istimewanya, memuji tentang keenakan masakannya. Pun begitu, penulis tidak pernah sempat untuk ke sana, memandangkan gerainya hanya di buka dari jam 5.00 petang hingga jam 10.30 malam dan pada hari bekerja sahaja. Alhamdulillah, akhirnya, hasrat itu tertunai juga semalam.
 
Memulakan perjalanan pada jam 8.00 malam dari Ulu Kelang, Selangor, kami sekeluarga hanya sampai ke kediaman beliau pada jam 9.30 malam kerana sesat.  Walaupun pada mulanya, ingin membuat kejutan dengan tidak memaklumkan terlebih dulu kepada Yatie dan Mike, akhirnya terpaksa menghubungi Yatie untuk minta tunjukkan arah jalan ke rumahnya.
 
Dengan wajah ceria menyambut kedatangan kami, Yatie sempat berkata sambil ketawa , "Nak terkejutkan aku, tapi kau yang terkejut, kan?" (kerana kami tak jumpa rumah beliau).





Yatie dengan gaya tersendiri.
Boleh masuk Master Chef ni...


Sambil bertanya khabar dan bersembang-sembang dengan mereka sekeluarga, Yatie mula memasak Char Kuey Teow, Mee Goreng dan Kuey Teow Goreng untuk hidangan kami sekeluarga manakala anak daranya, Izzani Alisa mengeluarkan minuman botol klasik pelbagai perisa.  Mike pula membancuh teh lalu menjamu kami teh tarik.
Minuman  botol yang popular sekitar tahun 70an. 

Penulis sempat merasa ketiga-tiga juadah yang dihidangkan. Apabila bertanya pada anak,  beliau menjawab, 'sedap sangat'.  Selain itu, menu lain yang ada ialah pelbagai jenis nasi goreng, mee dan meehoon.  Bukan untuk memuji berlebih-lebihan, tetapi sememangnya, masakan Yatie memang sedap!

Buat rakan-rakan yang lain, jangan tunggu hingga anda terlewat untuk menikmatinya. Orang-orang  Senawang atau sesiapa saja yang singgah ke Senawang, memang dicadangkan untuk mencuba dan merasainya sendiri.
Kuey Teow Goreng ini memang sedap!
Sedang asyik berbual, Jaybob pula tiba.  Bertambah meriahlah perbualan kami.  Jaybob yang kebetulan tinggal berhampiran, singgah sebentar sebelum ke gelanggang badminton bagi memenuhi kegiatan riadah beliau.

Sempat juga Yatie dan Jaybob menyatakan bahawa Leeza, seorang lagi rakan persekolahan kami, juga tinggal di kejiranan yang sama.  Penulis yang telah sedia maklum akan hal itu, telah memaklumkan kepada mereka tentang Leeza yang masih belum sembuh dan masih bercuti sakit lagi.  Kami doakan agar Leeza cepat sembuh.  Tentu sekali jika Leeza dapat hadir sama, suasana akan bertambah gamat lagi.
    
 

Sempat bergambar bersama Yatie dengan pakaian chef nya
 

Perniagaan JefYatie's Corner yang biasanya ditutup pada jam 10.30 malam terpaksa dilanjutkan hingga jam 11.30 malam kerana kerancakkan bercerita. Jaybob juga terpaksa lewat ke gelanggang, gara-gara melayani kami sekeluarga.
 
Terima kasih buat Mike sekeluarga dan Jaybob, yang sudi melayani kami. Semoga ikatan ukhwah yang sedia terjalin, akan terus berkekalan selamanya. Ia sememangnya akan menjadi kenangan manis buat kami.
 
Kepada yang ingin mencuba masakan rakan kami ini, jemputlah ke gerai di hadapan rumah mereka di alamat:
 
JefYatie's Corner,
No 1266 Jalan BSS 2/5K,
Bandar Seremban Selatan,
Sg Gadut, Negeri Sembilan.
 
 
Selamat mencuba!
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan