Sebenarnya sejak tahun lepas lagi, Hayati Sohod (Yatie), kawan sesama sekolah semasa di Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, Seremban (STTJ) hampir 30 tahun lalu, telah beberapa kali mengajak ke gerainya (dihadapan rumah beliau) , di Bandar Seremban Selatan, di Senawang. Suaminya, Jefri Mohd Din (Mike) pula merupakan rakan sekelas penulis ketika kami berada di sekolah yang sama.
Menu istimewa JeffYatie's Corner: Char Kuey Teow |
Hasrat untuk merasai sendiri masakan Yatie, memang telah tumbuh sejak pelawaan pertamanya itu, lebih-lebih lagi apabila kawan-kawan yang lain, yang pernah singgah dan mencuba Char Kuey Teow, hidangan istimewanya, memuji tentang keenakan masakannya. Pun begitu, penulis tidak pernah sempat untuk ke sana, memandangkan gerainya hanya di buka dari jam 5.00 petang hingga jam 10.30 malam dan pada hari bekerja sahaja. Alhamdulillah, akhirnya, hasrat itu tertunai juga semalam.
Memulakan perjalanan pada jam 8.00 malam dari Ulu Kelang, Selangor, kami sekeluarga hanya sampai ke kediaman beliau pada jam 9.30 malam kerana sesat. Walaupun pada mulanya, ingin membuat kejutan dengan tidak memaklumkan terlebih dulu kepada Yatie dan Mike, akhirnya terpaksa menghubungi Yatie untuk minta tunjukkan arah jalan ke rumahnya.
Dengan wajah ceria menyambut kedatangan kami, Yatie sempat berkata sambil ketawa , "Nak terkejutkan aku, tapi kau yang terkejut, kan?" (kerana kami tak jumpa rumah beliau).