Khamis, September 1

Danish - Guru Pertama Saya Di Laut

Asalnya hanya ingin menemani kawan-kawan bercuti ke Pulau Tioman. Mereka memang merancang untuk diving di percutian ini. Penulis pula hanya ingin berjalan menyusuri pantai sambil menulis.

Apabila Maszeri (Masz) dan Elyn Shalina (Elyn) mengajak untuk turut serta menaiki bot ke tengah laut untuk menyelam dan meminta Izzdanish Mohd Izwas (Danish) berusia 11 tahun menemani penulis sambil snorkeling, terasa serba salah di hati ini dan pada waktu yang sama, berasa teruja pula.

Guru muda yang sabar
 (sebab dapat murid tua.. hihihi..)
Danish adalah anak bongsu Mohd Izwas dan Sarinah Abas; kawan yang datang bersama di percutian ini. Mereka berdua juga adalah pengajar (instructors) bertauliah bagi aktiviti menyelam ini.

Danish mengajak penulis untuk menyewa peralatan untuk snorkeling. Danish yang telah biasa dengan aktiviti snorkeling sejak berusia 5 tahun, tidak kekok di kawasan Salang ini, mengenali dan dikenali ramai di sini.

"Bang... bagi uncle ni finslife jacket dan mask", katanya, meminta pembantu kedai menyewakan peralatan tersebut kepada penulis.

"Danish... uncle tak bawa duit ni.. nak bayar sewa. Nanti uncle ke bilik ambil duit dulu".

"Takpe uncle... tak perlu bayar sekarang. Nanti kira dengan abah jer...", katanya sambil mengambil peralatan untuk dirinya juga.

"Wow... popularnya budak ni. Senang jer dia berurusan di sini", detik hati penulis.

Kami menaiki bot ke tengah laut di Soyak Dive Site. Setelah Mash dan Elyn memulakan penyelamannya, Danish terjun ke laut dan meminta penulis berbuat demikian. Dengan peralatan yang telah siap di pakai semasa di atas bot, penulis turun perlahan-lahan dari bot lalu memasuki laut. Inilah pengalaman pertama di tengah laut.

Penulis yang sememangnya tidak tahu berenang, agak kekok dan berhati-hati ketika di dalam laut. Dengan tunjuk ajar dan bimbingan Danish, penulis mula dapat mengimbangkan badan, bernafas melalui mulut dan mula snokeling.

Danish kemudiannya meminta penulis memandang ke dasar laut dan menikmati pemandangan yang cukup indah dan amat menarik. Kelihatan beberapa ikan berwarna warni dan pelbagai rupa dan saiz. Terpesona dengan pelbagai hidupan laut yang amat cantik.

Syukur alhamdulillah. Pemandangan dalam laut yang selama ini hanya ditonton di kaca tv, kini ada di depan mata. Ia menjadi satu pengalaman yang cukup istimewa.

Hampir 35 minit di laut, dengan menunjuk ajar beberapa langkah keselamatan, cara bernafas yang betul, mengimbangi badan, cara berenang dan menikmati keindahan alam semulajadi lautan, Danish meminta agar penulis berenang ke bot semula.
Coach yang sentiasa ceria!
Terima kasih, Danish. Terima kasih kerana menjadi coach pertama uncle Jamal sebagai seorang penyelam; dan membuat uncle jatuh hati dengan aktiviti baru ini.
 
 
 
 

Selasa, Ogos 18

Kelahiranmu

Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan limpahan rahmatNya, dapatlah terus bernafas di dunia ini dan diberikan ilham untuk lahirnya blog ini bersama lahirnya seorang insan.

Apalah kelebihan dan kegembiraan menjadi seorang ayah kepada anak yang telah berkahwin selain menanti kehadiran seorang cucu.  Dan hari ini adalah harinya.
 
 
Tepat jam 9.13 pagi ini di Hospital Ampang, Selangor; lahirlah seorang bayi yang ditunggu-tunggu oleh ayah dan ibunya, datuk dan neneknya serta seisi keluarga yang lainnya. 
 
Masih ternyiang-nyiang suara isteri apabila menalifon dan memberitahu berita gembira itu.  Walau tak nampak di mata, tetapi dari nada suara itu, terbayang betapa gembiranya dan beriya-iyanya dia memaklumkan perkhabaran yang ditunggu-tunggu itu.  Terbayang keceriaannya dan mungkin ada airmata yang bergenang dikelopak matanya. 

Pada waktu itu, tanpa menerima apa-apa darjah kebesaran dari mana-mana istana, gelaran Datuk menjadi milik datuk ini.  Sempat mengusik isteri dengan memanggilnya 'Datin' apabila mengucapkan syukur dan tahniah kepadanya.
 
Ketika sampai di hospital di waktu tengahari, isteri tidak sabar-sabar ingin turun dari kereta untuk menatap wajah cucu sulungnya.  Minta segera diturunkan di depan lobi hospital.  Hanya tersenyum sambil mencari parking kereta selepas itu.  Dan akhirnya, pada jam 12.52 tengahari, dapatlah mata ini buat pertama kalinya menatap cucu seberat 2.36kg yang cukup comel itu. 

Alhamdulillah, syukur kepadaMu Ya Allah. Anak gembira. Menantu ceria. Cucu sihat.  Sukar untuk menggambarkan perasaan ketika itu.  Masih sukar untuk menggambarkan perasaan ketika ini. Biarkan waktu menggambarkannya nanti.
 
Dan cucu lelaki bertuah itu diberi nama Nuh Zill Qayyim Bin Mohd Zulfadli Adhwa.


Sumber:  www.nuhzillqayyim.blogspot.com



 

Khamis, Julai 16

Mereka Yang Teristimewa

Kehilangan mereka
bukan saja menyayat hati anak-anak
yang menjadi yatim piatu secara tiba-tiba
tetapi amat menghiris hati kami
yang turut merasai kepedihan itu...

Mereka berdua begitu romantis
gurauan mereka menghiburkan hati
ada nasihat yang disampaikan
ada teguran yang dilantunkan
di dalam gurauan itu
begitu mesra hingga tiada hati yang terasa

Ketika di majils keramaian
kehadiran mereka sering dinanti
Kelibat mereka di cari-cari
santun mereka menyenangkan semua
bagai kurang berseri tanpa mereka di sisi

Tentu sentiasa rindu
setiap kali terkenangkan mereka
bukan hanya anak-anak kehilangan mereka
semua yang mengenalinya
turut sama merasai kehilangan itu

Bersabarlah
mereka tetap milik kita semua juga
doakanlah kesejahteraan mereka
bagai mendoakan kebahagiaan kita
semoga mereka damai disana
sementara kita di sini menanti detik yang sama..


Al-Fatihah buat Allahyarham Mohd Yusoff Ismail & 
Allahyarhammah Mimi Zaleha Abdul Aziz


Taman Permata
29 Ramadhan 1436
6.15pm
posted from Bloggeroid

Selasa, Julai 14

Akhirnya Kau Pergi Jua

Semalam...
seorang lagi sahabat lama
dijemput pulang ke pangkuan Ilahi

Sebak...
bila mendapat perkhabaran itu
lantas terkenang detik-detik akhir bersamanya
tika sahabat berperang dengan penyakitnya
berulang alik ke hospital
bagai berulang alik pulang ke rumah
deritanya hanya dia yang tahu
kita yang melihat terseksa jua

Terkenang...
bila sesekali menziarahnya
di hospital dan di rumah
wajahnya ceria menahan derita
masih tersenyum dengan jenaka
masih mengenali diri ini
walau hampir 27 tahun tidak bersua
menggenggam erat tangan ini
bagai tidak mahu melepaskan pergi

Syahdu...
bila dapat mengulang-ulang ziarahnya
terawat luka hiba
setelah terkilan dengan pemergian rakan terdahulu
yang tidak pernah sempat di jenguk
hingga akhir hayatnya

Sahabat...
pergilah dengan damai
ketika Ramadhan masih tersisa
bulan seribu rahmat menjemputmu
moga jannah tempatmu

Tinggal kenangan

Al-Fatihah buat Allahyarham Abu Bakar Zainal (K3)
yang meninggal dunia pada 13 Julai 2015



Rabu, Disember 24

24 Disember setahun yang lalu...

Diam tak diam, hari ini 24 Disember...
 
Teringat pada seorang rakan, yang meninggal dunia setahun yang lalu pada jam lebih kurang 9.30 malam..
 
Seorang rakan sekelas yang rapat tapi pendiam.  Satu-satunya rakan STTJ yang terus saling bertanya khabar sejak di STTJ hingga ke akhir hayatnya. 

Kami pernah saling berkunjung ke rumah keluarga masing-masing ketika Hari Raya, saling menghadiri majlis perkahwinan masing-masing juga. Pernah pula berkunjung ke rumah setelah berkeluarga dan bertemu lagi di majlis keraian yang lain.
 
Masih merasa terkilan yang amat sangat kerana tidak pernah sempat untuk menziarahi arwah semasa sakitnya.  Dan lebih merasa terkilan, masih juga tidak berkesempatan untuk ziarah buat kali yang penghabisan setelah arwah menghembuskan nafas terakhirnya.
 
Banyak kenangan bersama arwah yang akan terus menjadi kenangan selamanya.
 
Al-Fatihah buat Azizah Adam; 5K3 ex-STTJ.
 

Ahad, Ogos 31

Pertemuan Di Jalan Kopi, Meru, Klang

Amin menulis di whatsapp pagi ini:
 
"Assalamualaikum... Syukur kepada Allah kerana kita dapat berjumpa dan beramah mesra, walaupun masa berlalu begitu cepat sekali malam tadi.  Maaf kepada kalian semua, saya tidak dapat melayan sahabat sepenuh masa. 
 
Terima kasih kepada Leeza, Rauah, Yatie, Noni, Waz, Fido, Gie, Syl, Yati, Jana, Lyn n Masz, Munir, Gapa, Zain, Jbob, Mike, Jamal, Rafian, Prof Jaa, Saido dan Rizal; kerana memeriahkan lagi majlis dengan tujuan merapatkan lagi ukhwah sesama kita.
 
Kepada yang tiada kelapangan, terima kasih di atas doa-doa kalian; sehingga majlis tamat dengan tiada sebarang masalah.  Sebarang kekurangan, saya dan keluarga mohon maaf..."

Kemudian Amin hantar gambar dan caption seperti berikut:

Rasa sedih tengok tempat ni dah kosong...hu...hu...